Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menyiasat dakwaan wujudnya individu bergelar “Ayahanda” bertindak sebagai ejen bagi tapak bazar Ramadan dan Aidilfitri.
Menurut Unit Media Jabatan Perancangan Korporatnya, DBKL menganjurkan dan menyelia dua tapak, iaitu bazar Aidilfitri di Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR) dan bazar Ramadan di tempat letak kenderaan Taman Tasik Permaisuri, Bandar Tun Razak.
Sementara itu, bazar Rahmah lot 4 @ Lorong TAR dan Jalan Gereja, Dataran Merdeka, serta bazar Ramadan di 63 lokasi lain berada bawah seliaan persatuan.
Terdahulu dilaporkan wujudnya individu bergelar “Ayahanda” mengaut keuntungan besar dengan bertindak sebagai ejen menjual tapak bazar Ramadan dan Aidilfitri.
Individu itu dilaporkan membolot tapak bazar kendalian pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya kemudian menjualnya kepada pihak ketiga dengan mahal.
Bagi menangani isu itu DBKL berkata, pelbagai usaha serta inisiatif sudah diambil, antaranya menyediakan borang khas untuk pengisytiharan kadar caj dan bilangan peniaga di kawasan diselia bagi memudahkan kawalan, pemeriksaan dan pemantauan.
“Kadar bayaran dikenakan bagi bazar seliaan DBKL adalah sebanyak RM980 bagi bazar Ramadan dan RM1,980 bagi bazar Aidilfitri,” katanya menurut Harian Metro.
“Kadar bayaran ini termasuk fi lesen, caj perkhidmatan pembersihan, sewa tapak dan pembekalan kanopi yang akan diberikan terus kepada peniaga.”
DBKL berkata, jika terdapat pelanggaran syarat bagi lokasi bawah seliaannya, tindakan kompaun akan dikenakan, manakala peniaga yang terbabit dengan kegiatan “sublet” atau penjualan semula petak niaga akan disenarai hitam.
“Bagi kes pelanggaran syarat bawah seliaan persatuan, tindakan pemotongan deposit dan kompaun turut diambil,” katanya.
DBKL berkata, pihaknya menyambut baik cadangan dikemukakan bagi menambah baik mutu penyampaian perkhidmatan kepada warga kota.
Katanya, cadangan untuk menyenarai hitam individu, persatuan yang melanggar syarat atau menyalahgunakan kelulusan penganjuran sudah dilaksanakan.
“Pemantauan dari semasa ke semasa akan sentiasa dilakukan dan diperketatkan agar tiada mana-mana pihak terbeban dengan kos tambahan yang wujud disebabkan salah laku daripada individu, persatuan yang tidak bertanggungjawab,” katanya.
Leave a Reply