Dakwa titah Agong disedia kerajaan, Ahli Parlimen PN mohon maaf

Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) Tuan Ibrahim Tuan Man telah memohon maaf kerana memberikan bayangan bahawa titah diraja Yang di-Pertuan Agong disediakan kerajaan minggu lepas.

Beliau tidak mahu isu tersebut dipanjangkan, katanya, dan telah memberikan penjelasan kepada Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul.

“Saya pun telah adakan pertemuan dengan Speaker dan berikan penjelasan (mengenai) beberapa kekhilafan berlaku,” katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

“Saya fikir perkara ini tak perlu dipanjangkan kerana kita banyak isu penting. Jika ada kekhilafan, saya mohon maaf dan teruskan agenda penting untuk rakyat.”

Pada, 21 Feb, sidang Dewan Rakyat kecoh seketika dengan pertelingkahan antara dua Ahli Parlimen selepas seorang “backbencher” menuduh Ahli Parlimen Kubang Kerian itu memberikan bayangan bahawa titah diraja Agong disediakan kerajaan.

Tuan Ibrahim berkata, titah Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah kurang menekankan konsep keadilan, yang menurutnya merupakan aspek penting dalam slogan “Negara Madani” kerajaan perpaduan

RSN Rayer (PH-Jelutong) kemudiannya mencelah, sambil menyifatkan kenyataan itu “tidak wajar” dan menggesa Tuan Ibrahim menarik balik dan memohon maaf kepada Agong dan Dewan Rakyat.

Sementara itu, Johari turut mengesahkan telah berjumpa dengan Tuan Ibrahim dan telah diberi penjelasan berhubung dakwaan itu.

Beliau juga memuji tindakan Tuan Ibrahim memohon maaf berhubung perkara itu.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*