Ahli Jawatankuasa AMANAH Selangor, Abbas Azmi berkata menasihatkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor supaya tidak cakap merapu di Selangor.
Menurutnya, sikap merapu Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu sangat tidak bersesuaian dengan masyarakat di Selangor.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan merapu Sanusi pada sidang akhbar selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Negeri Selangor di Shah Alam, kelmarin.
Menerusi kenyataan hari ini, Abbas menyelar sikap Sanusi yang antara lain menyatakan pendirian PN untuk menampilkan calon anak jati Selangor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri itu.
“Mempertikai dan memperlekeh barisan Exco kerajaan negeri Selangor dan juga YAB Datuk Menteri Besar Selangor adalah sikap yang tidak berakhlak.
“Cukuplah merapu di Mentaloon jangan dibawa perangai buruk di tempat orang,” bidasnya.
Untuk rekod, Seri Mentaloon merujuk kepada kediaman rasmi Menteri Besar Kedah yang terletak di Jalan Anak Bukit, Pantai Johor di Alor Setar.
Mengulas lanjut, Abbas mengingatkan bahawa kesemua barisan Exco dan Menteri Besar Selangor serta penubuhan kerajaan negeri yang diterajui Pakatan Harapan (PH) adalah hasil daripada undi rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
“Bagaimana dengan lantikan Datuk Seri Sanusi? Apakah kerajaan beliau adalah kerajaan yang dipilih rakyat melalui proses pilihan raya?
“Atas asbab itulah setiap hari ada sahaja cakap-cakap merapu terkeluar dari mulut beliau. Orang buat salah memang tidak akan tenteram,” tempelaknya lagi.
Kelmarin, Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN berkata, alangkah baik jika Selangor diterajui oleh anak negeri itu yang lebih faham cita rasa dan cara hidup penduduk tempatan.
Leave a Reply