Budak 3 tahun mati dibunuh, kaki tangan dikelar

Seorang kanak-kanak lelaki berumur tiga tahun dalam keadaan tangan diikat di kawasan semak dipercayai dibunuh dalam kejadian di Kampung Panji semalam.

Orang awam menemui mayat mangsa dalam keadaan berdarah dan kepalanya turut tersepit di antara dua belah pokok sebelum melaporkan kejadian terbabit kepada polis.

Pemangku Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Azmir Abdul Razak berkata, pihaknya menerima laporan mengenai penemuan mayat berkenaan pada pukul 3.50 petang.

“Sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu kemudiannya dikejarkan ke lokasi penemuan. Siasatan awal mendapati mangsa adalah dari suku Palauh dan ketika ditemui mangsa cedera luka di bahagian kepala, kedua belah tangan dan kaki kiri.

“Tangan sebelah kanan mangsa turut diikat menggunakan seutas tali. Kepala mangsa turut tersepit di antara dua belah pokok. Mangsa juga cedera di kepala dipercayai dicederakan dengan benda tajam dan terdapat kesan torehan di kedua-dua belah tangan dan kaki kiri,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut, Azmir berkata, siasatan mendapati ibu mangsa yang berusia lingkungan 20 tahun memaklumkan mangsa keluar dari rumah untuk bermain namun tidak balik ke rumah sehingga mangsa ditemui.

“Mangsa kali terakhir dilihat pada pukul 12 tengah hari semalam dan ibu mangsa telah berusaha mencari di sekitar kampung dan pukul 3 petang, ibu mangsa dimaklumkan anaknya ditemui di kawasan semak di Kampung Panji.

“Ibu mangsa kemudiannya meminta bantuan daripada orang awam bagi menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan,” katanya.

Sementara itu, Azmir berkata, seorang lelaki warga asing berusia lingkungan 30 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

Menurutnya, tangkapan ini adalah individu yang dilihat terakhir kali bersama dengan mangsa.

“Suspek juga didapati positif dalam penyalahgunaan dadah serta dipercayai kurang siuman. Turut ditahan kedua-dua ibu bapa mangsa yang berusia lingkungan 20 dan 30 tahun juga warga asing untuk siasatan lanjut,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*