“Bikin berjurai air mata…” Ayah berlari bantu anak pengsan di padang kawad curi tumpuan warganet

Tindakan seorang ayah yang telah tua berlari sehingga tertanggal selipar untuk membantu anaknya yang pengsan ketika berdiri di atas padang kawad di bawah matahari yang tegak di kepala mengundang tangisan menteri, hadirin dan warganet.

Kejadian berlaku di Maktab Penjara Kajang pagi semalam semasa sambutan Hari Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Peristiwa berkenaan dikongsi oleh Menteri KPDNHEP Datuk Alexander Nata Linggi yang menyaksikan sendiri kejadian berkenaan.

Menurutnya, kejadian tersebut menunjukkan betapa agungnya kasih seorang ayah kepada anak.

“Banyak yang tersirat di sebalik turutan gambar ini. Ketika terkujurnya anak tatkala berkawad kerana menahan terik mentari, berlari si ayah menerpa dari arah khemah tetamu.

“Sehingga terlucut selipar yang disarung namun tidak diendahkan, asalkan beliau berada di sisi anak dalam sekelip mata,” katanya.

"Bikin berjurai air mata..." Ayah berlari bantu anak pengsan di padang kawad curi tumpuan warganet

"Bikin berjurai air mata..." Ayah berlari bantu anak pengsan di padang kawad curi tumpuan warganet

"Bikin berjurai air mata..." Ayah berlari bantu anak pengsan di padang kawad curi tumpuan warganet

Menurut Alexander, beliau dan hadirin menyangka sang ayah akan membawa anaknya keluar dari padang kawad.

Bagaimanapun sangkaannya meleset, sebaliknya si ayah menolong anaknya untuk bangkit berdiri semula sambil sang ayah yang telah dimamah usia berdiri di belakang si anak.

Kejadian itu benar-benar mengharukan para hadirin sehingga ada yang menitiskan air mata termasuk Alexander.

“Meskipun badan ayahnya dimamah usia, anaknya dipapah, bingkas dibantu berdiri sambil badan menjengah lebih separuh abad itu menjadi benteng daripada anaknya kembali rebah.

“Melihatkan pengorbanan tidak terperi seorang ayah, berjurai air mata hadirin membasahi pipi masing-masing. Saya tidak terkecuali.

“Kepada mereka yang masih mempunyai insan bergelar ayah – hargai, sayangi dan santunilah selagi hayatnya dikandung badan,” nasihat Alexender.

Dalam ruang komen rata-rata warganet menyatakan beruntungnya si anak kerana mempunyai bapa yang memberikan sokongan yang kuat.

Malah ada yang menyatakan peristiwa tersebut membuatkan mereka teringat kepada ayah yang telah tiada.

“Keluar air mata tengok. Supaya pak cik diberi kesihatan yang baik selalu,” doa Nuraz Syma.

“Tiba-tiba rindu ayah jugak. Al-fatihah utk ayahku. Perwira tidak didendang,” komen Alto Tanka M.

“Kasihnya ibu dibawa ke syurga dan kasih nya ayah berkorban nyawa. Yang masih ada mak dan ayah hargai mereka semasa beliau masih ada. Teringat arwah ayah dan ibuku semoga arwah kedua orang tuaku tenang di syurga. Amen,” kata Mary Ng.

“Pengorbanan serta kasih sayang seorang ayah tanpa batasnya. Terbaik. beruntung yang masih ada ayah,” komen Pak Mud.

“Sebak betul tadi. Saksi pakcik tu berlari dapatkan anak dia. Dua kali jatuh pengsan,” kata Hidayatul Hannani yang turut menyaksikan kejadian tersebut.

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*