Berang tak bayar hutang, Ah Long guna bom cuba letup rumah. Seorang pemberi hutang haram atau ah long di Thailand didakwa cuba meletupkan rumah milik seorang wanita yang gagal membayar pinjaman dengan melempar sebutir bom tangan gred tentera, lapor laman berita Thaiger semalam.
Kejadian tersebut berlaku di wilayah Phattalung, selatan Thailand sekitar pukul 2 petang (waktu tempatan).
Polis berkejar ke lokasi kejadian selepas tukang kebun menjumpai bom tersebut di atas rumput di halaman rumah mangsa.
Pihak berkuasa kemudian memindahkan jiran sekeliling dan memanggil unit Pelupusan Senjata Api Letupan (EOD) ke tempat kejadian.
Pegawai EOD mengenal pasti bom itu sebagai bom tangan M67 yang boleh membawa maut jika meletup dan sering digunakan oleh tentera Amerika Syarikat (AS).
Sesiapa yang melemparkan bom tangan itu berniat untuk meletupkan sasarannya kerana picu letupan telah pun dibuka.
Bagaimanapun, atas sebab tertentu, bom tangan itu gagal meletup. Tiada siapa tahu berapa lama bahan letupan itu tersembunyi di sebalik rumput.
Pasukan pemusnah bom membawanya ke sebuah lokasi di luar bandar untuk melakukan letupan terkawal iaitu satu-satunya cara bagi melupuskan bom berkenaan.
Mangsa yang berusia 59 tahun berkata, itu bukan kali pertama dia menjadi sasaran. Dia menunjukkan rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) polis pada bulan lalu menunjukkan penyerang menaiki motosikal tanpa plat kenderaan menuju ke rumahnya.
Lelaki itu melepaskan tembakan menggunakan pistol 9mm ke arah rumahnya sebelum melarikan diri.
Tembakan itu menyebabkan rumah tersebut rosak tetapi tiada sebarang kecederaan dilaporkan.
Wanita itu berkata, pada tahun lalu, sekumpulan lelaki membaling bom ‘ping pong’ buatan sendiri ke rumahnya.
Mangsa menjelaskan bahawa dia membuat pinjaman dengan kadar faedah tinggi bagi pihak anak-anaknya daripada pemiutang pinjaman tidak rasmi dari daerah Kong Ra.
Bagaimanapun, sejak gagal memenuhi bayaran pinjaman, dia telah menjadi sasaran serangan ceti haram berkenaan sehingga nekad meninggalkan wilayah itu demi keselamatan nyawanya.
Turut baca :
- Sekeluarga hidup ketakutan, dua lelaki bermotosikal lepas tembakan ke rumah
- {VIDEO} Kejadian lelaki dipaksa naik kereta Toyota Alphard putih undang tanda tanya
Leave a Reply