Belajar tujuh hari di China, wanita buka klinik gigi haram dicekup

Belajar tujuh hari di China, wanita buka klinik gigi haram dicekup. Seorang ‘doktor gigi segera’ ditahan penguatkuasa Kementerian Kesihatan selepas didapati melakukan rawatan dan pemasangan pendakap gigi dengan hanya berbekalkan pengalaman tujuh hari belajar di China.

Wanita berusia 23 tahun itu ditahan bersama dua pekerjanya berusia 20-an dalam serbuan kira-kira pukul 2 petang di sebuah premis di Pandan Malim di sini, semalam.

PENGUATKUASA Kementerian Kesihatan merampas kesemua barangan dalam sebuah klinik gigi haram yang beroperasi di Pandan Malim, Melaka.

Ketua Operasi, Dr. Rosnah Atan berkata, berdasarkan rekod pendaftaran pelanggan, klinik gigi haram itu dipercayai beroperasi selama dua tahun.

Katanya, bagi mengaburi kegiatan berkenaan, pengusaha menyewa premis di tingkat dua bangunan kedai terbabit.

“Serbuan dilakukan hasil maklumat disalurkan orang awam dan risikan dilakukan sejak sebulan lalu.

“Hasil soal siasat dijalankan, seorang wanita mengaku memberi rawatan dan pemasangan pendakap gigi kepada orang ramai dengan hanya menggunakan pengalaman dipelajarinya selama tujuh hari di China.

“Klinik haram ini juga menjalankan beberapa perkhidmatan lain termasuk rawatan muka menggunakan mesin serta peralatan yang hanya boleh dikendalikan oleh doktor bertauliah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai operasi.

Rosnah berkata, modus operandi pengusaha mendapatkan pelanggan adalah dengan melakukan promosi rawatan pada harga murah berbanding klinik berdaftar dalam laman sosial Instagram.

Tambahnya, kesemua barangan dalam premis itu dirampas dan kes disiasat mengikut Seksyen 62 dan Akta 804 Akta Pergigian 2018 iaitu larangan menjalankan amalan pergigian oleh seseorang yang tidak didaftarkan di bawah Akta 804.

“Premis ini menawarkan pemasangan pendakap gigi pada harga sekitar RM1,200 sehingga RM1,500 bagi bahagian gigi atas dan bawah, kos ini sememangnya lebih murah berbanding klinik berdaftar.

“Janji temu dibuat terlebih dahulu di Instagram mereka sebelum pelanggan datang ke premis untuk rawatan,” katanya.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*