Seorang bayi lelaki menjadi korban banjir yang ketiga di Kelantan dalam apabila ditemukan lemas selepas rumah keluarganya di Kampung Cherang Melintang, Chabang Empat di Tumpat dekat sini dinaiki air semalam.
Bayi yang berusia satu tahun sebulan itu dipercayai terjatuh ke dalam air banjir di tingkat bawah rumah keluarganya selepas bangun daripada tidur di tingkat atas kediaman tersebut kira-kira pukul 10.30 malam.
Ketua Polis Kelantan Datuk, Mohd. Yusoff Mamat berkata, siasatan mendapati, ibunya yang berusia 41 tahun sedang tidur bersama mangsa di tingkat atas rumah tersebut sebelum tersedar bayi itu tiada di sisi.
Menurutnya, wanita itu kemudian mendapati sofa yang digunakan untuk menahan tangga di tingkat atas rumahnya telah terusik.
“Ibu mangsa terus turun ke tingkat bawah sebelum mendapati anaknya sudah berada dalam keadaan terapung di dalam air banjir.
“Panik dengan situasi tersebut, wanita itu meminta bantuan jiran untuk membawa anaknya keluar dengan perahu ke Jambatan Kubang Panjang,” katanya pada sidang akhbar di Pondok Polis Repek di sini hari ini.
Mohd. Yusoff memberitahu, Ketua Balai Chabang Empat terus membawa pengadu, suami dan anaknya ke Hospital Tumpat di sini.
Menurutnya, pemeriksaan di hospital mendapati, bayi itu sudah meninggal dunia semasa berada di rumahnya lagi.
“Bayi itu menjadi korban ketiga banjir dalam tempoh lima hari musim tengkujuh di Kelantan selepas kes lelaki maut terkena renjatan elektrik berusia 33 tahun di Pasir Puteh dan warga emas berusia 64 tahun di Machang.
“Justeru, semua mangsa banjir diingatkan agar terus berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) sekiranya air sudah memasuki kawasan rumah bagi mengelakkan kejadian sama berulang,” ujarnya.
Baca juga :
Leave a Reply