Tiga anggota polis trafik yang didakwa meminta wang daripada pasangan pelancong asing di Ipoh baru-baru ini telah dikenakan tindakan tahan kerja, maklum Ketua Polis Negara Razarudin Husain.
“Kita sudah menghantar kertas siasatan dan serah kepada Jabatan Peguam Negara untuk dituduh atau tidak,” katanya seperti dipetik Bernama.
Pada 30 Jan lepas, tiga anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak direman tiga hari bagi membantu siasatan berhubung perbuatan meminta wang daripada pasangan pelancong warga United Kingdom (UK) untuk menyelesaikan saman trafik di Jalan Simpang Pulai – Cameron Highlands.
Pada 28 Jan, media melaporkan polis Bukit Aman menyiasat video tular yang memaparkan kejadian berkenaan.
Klip video itu, yang mula beredar di Twitter, menunjukkan pelancong dari UK mahu disaman oleh polis trafik kerana didakwa memandu laju di lebuh raya.
Salah seorang pelancong, yang memandu van itu, kemudian bertanya kepada polis tindakan yang perlu mereka lakukan seterusnya, dan polis berkata mereka mempunyai dua pilihan.
Polis trafik berkenaan kemudian berkata mereka mempunyai pilihan sama ada membayar saman di balai polis atau di lokasi itu.
“Bayar di balai polis, RM300. Bayar sini, RM100,” katanya kepada pemandu wanita itu.
Dalam pada itu, Razarudin turut berkata pihaknya tidak bertoleransi atas kes melibatkan displin anggota dan pegawai polis termasuk kesalahan yang melanggar undang-undang dan akan mengambil tindakan tanpa amalan berat sebelah.
Turut baca :
Leave a Reply