BAJET 2023 | Kenaikan kadar RMT tak memadai, keluh pengusaha kantin

Kenaikan kadar harga makanan program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) untuk setiap murid daripada RM2.50 kepada RM3.50 bagi Semenanjung dan RM3 kepada RM4 di Sabah dan Sarawak dianggap tidak memadai dengan kenaikan harga barang mentah.

Presiden Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia (PPKSM), Khairuddin Hamzah, berkata pihaknya menyeru kerajaan melalui Kementerian Kewangan (MOF) mengkaji semula kadar itu bagi memenuhi keperluan nutrisi murid.

“Saya agak terkilan kerana kenaikan ini masih agak tidak memadai dengan kos semasa barang mentah.

“Malah Kementerian Kesihatan pernah menyatakan kos RMT perlu dinaikkan kepada sekurangnya RM4 bagi memenuhi keperluan nutrisi murid. Saya menyeru kerajaan mempertimbangkan semula kenaikan ini,” katanya kepada FMT.

Katanya, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kewangan perlu mengambil kira situasi sekolah di luar bandar yang kebanyakan muridnya adalah penerima RMT dan bukannya hanya menilai sekolah di bandar sahaja.

“Malah ada sekolah yang 100% muridnya adalah penerima RMT. Ini bermakna tiada atau hampir tiada penjualan makanan secara tunai yang boleh menjana pendapatan pengusaha kantinnya.

“Untuk bergantung kepada pembekalan RMT yang hanya sekadar balik modal semata mata, mungkin tak ramai yang sanggup bertahan di sekolah kategori begini,” katanya.

Beliau mengesyorkan harga RMT dinaikkan kepada RM4.50 bagi Semenanjung dan RM5.50 untuk Sabah dan Sarawak sesuai dengan kos semasa harga barang mentah.

Bagaimanapun, Khairuddin berkata, pihaknya tetap menghargai inisiatif kerajaan itu kerana mendengar dan mempertimbangkan permohonan persatuan itu sejak beberapa tahun lalu.

“Kenaikan ini sememangnya amat dinanti oleh 7,300 orang pengusaha kantin sekolah rendah yang terlibat dengan RMT ini. Tidak dinafikan kenaikan ini memberi manfaat kepada lebih 800 ribu penerima RMT dan ramai pengusaha kantin,” katanya,

Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz ketika membentangkan Bajet 2023 mengumumkan kenaikan kadar untuk makanan bermasak program RMT berkuat kuasa bulan ini dengan membabitkan peruntukan RM777 juta.

Turut baca :

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*