Pembentangan Bajet 2023 mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial dengan ada yang mempersoalkan beberapa peruntukan diumumkan dan sebahagian lagi melihat kebaikan terkandung di dalamnya.
Seorang pengguna Facebook, Zainal Aziz menyatakan ketidakpuasan hati kerana mendakwa banyak peruntukan memfokuskan penjawat awam sahaja.
“Semuanya untuk kakitangan kerajaan, bagaimana pula dengan swasta (sektor)?,” soalnya.
Seorang lagi pengguna Facebook, Tok Puteh juga mendakwa tiada apa dalam bajet kali ini untuk rakyat Malaysia yang bekerja di sektor swasta.
Antara peruntukan untuk kakitangan awam yang diumumkan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz adalah kenaikan gaji RM100 untuk semua penjawat awam dari Gred 11 hingga Gred 56, bantuan “one-off” RM350 untuk pesara kerajaan dan penambahan bantuan Aidilfitri kepada RM600.
Sementara itu, pengguna Twitter @FranciscoPier1 mendakwa bajet itu digunakan oleh kerajaan yang diterajui Barisan Nasional untuk memancing undi menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15) nanti.
“Bajet yang besar tetapi adakah ini bermakna lebih banyak hutang? Di Mana dan siapa yang akan membayar ini semua pada akhirnya? Pengurangan cukai adalah bagus tetapi selepas pilihan raya adakah kadar cukai akan melonjak?
“Bajet pertahanan melambung. Siapa akan menanggung kos dan siapa yang akan dapat manfaat daripadanya,” katanya.
Seorang lagi pengguna Facebook, M Ekamotsu San berpendapat bajet kali ini hanya mengandungi janji manis sahaja.
“Ini hanya janji manis, kerajaan tidak akan menunaikannya. Jangan terlalu gembira, kita sudah banyak kali ditipu sebelum ini,” katanya.
Bagaimanapun, beberapa warganet melihat bajet kali ini pada sudut positif.
Pengguna Facebook, Siti Nurihan Salim berkata, bantuan pendidikan RM150 untuk semua pelajar tanpa mengira pendapatan ibu bapa adalah satu inisiatif yang baik.
Seorang pengguna Twitter pula memuji peruntukan RM1.8 bilion untuk membeli peralatan baru untuk hospital dan klinik.
“Alhamdulillah, lebih banyak peralatan perubatan untuk hospital awam dan petugasnya. Saya sebelum ini terpaksa melakukan imbasan MRI pada jantung di hospital swasta kerana kekurangan peralatan,” katanya.
Seorang pengguna Twitter, Naim menyambut baik peruntukan RM350 juta kepada komuniti Orang Asli dan berkata ia tepat pada masanya.
Turut baca :
- BKM RM2,500 buat B40 sara lebih lima anak
- BAJET 2023 | Kenaikan kadar RMT tak memadai, keluh pengusaha kantin
Leave a Reply