Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki mengesahkan Daim Zainuddin sedang disiasat kerana dipercayai terlibat rasuah dan penggubahan wang, susulan sitaan sebuah bangunan baru-baru ini.
Menurut The Star, Azam bagaimanapun enggan mengulas lanjut perincian kes siasatan terhadap bekas menteri kewangan itu.
Azam juga dilaporkan turut memberi jaminan tindakan agensi berkenaan tidak akan menjejaskan operasi dan urusan di bangunan tersebut.
“Apabila kami menyiasat dakwaan rasuah dan salah guna kuasa dan melibatkan harta tak alih, kami dibenarkan di bawah Akta SPRM menghantar permohonan sitaan kepada timbalan pendakwa raya.
“Itulah apa yang berlaku. Kami menggunakan kuasa diperuntuk kepada timbalan pendakwa raya untuk mengarahkan pejabat tanah meletakkan kaveat terhadap tanah berkenaan,” katanya.
Azam berkata, proses sama telah dilakukan SPRM sejak sekian lama ketika proses siasatan dilaksanakan, sambil menekankan sitaan Menara Ilham “bukan satu-satunya kes”.
Turut baca :
- {VIDEO} Sekelip mata hilang dari pandangan, ibu reda anak setahun 3 bulan lemas depan mata
- Dipercayai ada kaitan kes rasuah & penyelewengan, SPRM sita Bangunan Menara Ilham
The Star yang juga memetik sumber sebagai berkata, beberapa aset milik Daim dan keluarganya juga mungkin disita SPRM, susulan dipercayai kegagalannya menjelaskan sumber dana bagi pembelian hartanah.
“Ini (lebih banyak sitaan) ada kemungkinan. Jika ada keperluan untuk aset disita, pegawai penyiasat akan meneruskan permohonan sitaan,” kata sumber itu.
Pada Rabu, dilaporkan SPRM menyita Menara Ilham mengikut Seksyen 38(1) Akta SPRM, yang membenarkan sitaan harta tak alih.
Sumber memberitahu FMT, berkata sitaan dibuat sementara menunggu siasatan yang tidak didedahkan.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini menafikan ada muslihat di sebalik sitaan bangunan tersebut, sambil menyatakan ia bukti agensi antirasuah itu akan menyiasat sesiapa sahaja tanpa mengira latar belakang dan kedudukan.
Leave a Reply