Ayam segar, telur ayam ‘licin’ dalam sejam di ‘Karnival Jualan Rahmah’

Empat ratus ayam segar dan 400 papan telur ayam yang masing-masing dijual pada harga RM10 seekor serta sepapan habis dijual dalam sejam pada Karnival Jualan Rahmah di Kompleks Belia dan Sukan, Jalan Stadium di sini, hari ini.

Ia antara lebih 16 barangan harian yang dijual pada harga murah pada karnival bermula jam 8.30 pagi hingga jam 5.30 petang ini.

Program dirasmikan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Senator Fuziah Salleh dan turut dihadiri Pengarah Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Azman Adam.

Terdahulu, Fuziah melancarkan Aduan Suri dan Peremajaan Semula Saluran Aduan Kepenggunaan KPDN.

Pelancaran itu memfokus kepada suri rumah yang berurusan dengan pembelian barang keperluan secara harian dan berdepan secara langsung dengan sebarang kenaikan harga melampau serta kekurangan bekalan.

Pada majlis itu, Fuziah turut melancarkan QR Code Saluran Aduan melalui aplikasi whatsup, ADUAN SURI: Mendayaupayakan Pengguna bagi memudahkan pengguna membuat aduan.

Kata Fuziah, peremajaan semua semua platform aduan ini diharap dapat disebar luas manfaatnya kepada seluruh masyarakat.

“Berdasarkan data aduan 2022, 13,755 pengadu wanita direkodkan.

“Melalui inisiatif itu, ia dapat membantu mempercepatkan tindakan maklum balas atas aduan lengkap yang diterima dalam tempoh 14 hari berbanding 21 hari,” katanya.

Sementara itu, pengguna, Haslina Hilmi, 34, berkata, karnival jualan seperti itu perlu dianjurkan lebih kerap untuk membantu golongan memerlukan membeli barangan lebih murah berbanding biasa.

Katanya, dia yang menunggu seawal jam 8 pagi hanya boleh membeli barangan itu pada jam 10 pagi.

“Alhamdulillah, saya dapat beli ayam segar dan satu papan telur ayam masing-masing dijual pada harga RM10, walaupun ia agak terhad, untuk keperluan keluarga saya,” katanya.

Nor Amalina Mohd Khir, 34, berkata, melalui jualan barangan keperluan di karnival berkenaan, ia dapat membantu golongan yang memerlukan.

“Semua barangan yang dijual di karnival ini murah dan berpatutan. Ia menjimatkan banyak belanja pembeli,” katanya.

Ayam segar, telur ayam 'licin' dalam sejam di 'Karnival Jualan Rahmah'

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*