Anwar : Tan Sri, tauke besar rancang gugat kerajaan

Rakyat khususnya orang Melayu tidak perlu lagi diperbodohkan dengan kenyataan pemimpin tertentu yang mendakwa memperjuangkan hak kaum itu, namun dalam masa sama membolot kekayaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan di bawah kepimpinannya, hak dan kedudukan Melayu, Bumiputera serta kaum lain kini lebih selamat berbanding sebelum ini.

“Ada orang sekarang setelah 22 tahun campur 22 bulan pegang kuasa, mengeluh Melayu hilang segala-galanya, hilang harta, hilang saham. Bagaimana tak hilang kalau kamu bolot untuk kamu, untuk keluarga kamu dan anak-anak kamu. Sekarang bila hilang kuasa, bicara soal rakyat.

“Jangan perbodohkan rakyat, rakyat harus bangkit mempertahankan hak mereka. Kumpulkan.. tonton…

“Tan Sri-Tan Sri, tauke-tauke besar, ini berapa kerat orang sekarang merencana untuk mengugat menggunakan sentimen kaum, mengajak orang-orang Melayu benci kepada kaum-kaum lain dan menyatakan kuasa hilang.

“Kamu pegang tampuk kepimpinan kuasa termasuk kerajaan tiga tahun baru-baru ini, mana Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (RUU 355), mana projek peningkatan dana untuk Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah?” katanya di Shah Alam.

Presiden PKR itu berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Nasional Khas PKR 2023 yang bertemakan “Malaysia MADANI, Pelaksanaan Sebuah Idealisme” di Stadium Malawati, di Shah Alam.

“Bila hilang kuasa, bila dicabar, bila takut dengan serangan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri, kamu kaya berbilion-bilion, cukai tak mahu bayar, bawa lari ke luar negara, dan minta saya jadi perdana menteri apa?” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*