Abdul Hadi ‘arkitek’ permusuhan antara DAP dan PAS

Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, Dr P Ramasamy menempelak kenyataan terbaru Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung parti itu tidak boleh masuk ‘dapur DAP’ walaupun mereka menukarkan chef dalam kalangan orang Islam.

Abdul Hadi 'arkitek' permusuhan antara DAP dan PAS
Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, Dr P Ramasamy

Menyifatkan kenyataan Abdul Hadi itu melucukan, Ramasamy secara sinis menyatakan Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu sudah hilang ingatan mengenai kerjasama PAS dengan DAP dalam Pakatan Rakyat (PR) pada 2008 hingga Jun 2015.

“Sungguh melucukan kenyataan Presiden PAS, Abdul Hadi bahawa walaupun DAP melantik seorang chef Muslim, parti itu tidak akan pernah masuk ke dapurnya.

“Namun begitu, Hadi mudah lupa, mungkin disebabkan kesilapan ingatannya, antara April 2008 dan sehingga Jun 2015, ketika Pakatan Rakyat wujud, PAS tidak mempunyai masalah untuk memasuki dapur DAP.

“Pada masa itu, tidak ada bezanya sama ada chef itu beragama Islam atau tidak,” katanya dalam kenyataan di dalam Facebook, beliau, baru-baru ini.

Abdul Hadi dalam satu kenyataan menyatakan PAS tidak boleh dimasukkan ke dalam ‘dapur masakan’ DAP yang ada bersamanya makanan tidak halal, walaupun bertukar tukang masaknya atau diambil tukang masak beragama Islam.

Katanya, PAS bertahaluf dengan DAP dan bersama parti-parti lain dalam gagasan pembangkang suatu ketika dulu berkonsepkan titik persamaan kemanusiaan yang tidak menyentuh dasar parti dan tidak terpesong hala tujunya.

Ramasamy yang juga Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, berkata, Abdul Hadi adalah ketua arkitek permusuhan antara DAP dan PAS.

Katanya, jika Mursyidul Am PAS, Datuk Seri Nik Abdul Aziz, masih hidup, permusuhan antara kedua-dua parti itu tidak akan berlaku.

“Dulu, Hadi pernah menuduh DAP bersimpati dengan Parti Komunis Malaya (PKM) yang kini sudah tidak berfungsi.

“Lebih daripada ini, beliau telah menuduh DAP menyokong idea membawa balik mayat Ketua PKM, Chin Peng dari Thailand,” katanya.

Ramasamy berkata, kenyataan Abdul Hadi mengatakan bahawa DAP adalah parti licik yang cuba berselindung di sebalik Perlembagaan untuk mempromosikan prinsip sekularismenya, jelas sekali tidak masuk akal.

Katanya, ini kerana hakikatnya Islam adalah agama rasmi persekutuan dan sudah tiba masanya rakyat Malaysia tidak lagi memandang serius pandangan Hadi.

“Kenyataan Abdul Hadi khusus terhadap DAP bukan saja tidak masuk akal malah lebih mencerminkan pandangan perkauman dan agamanya yang melampau,” katanya.

Beliau turut menempelak sikap Abdul Hadi yang sentiasa membalas kenyataan dan pandangan umum DAP, tetapi bersikap berdiam diri mengenai rasuah dan pengubahan wang haram dalam gabungan PN.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*