Cubaan seludup dadah RM1.34 juta di KLIA, ‘keldai’ dadah ditahan. Cubaan seorang wanita menyeludup masuk kokain hitam seberat 6.7kg bernilai RM1.34 juta gagal apabila ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 6 Nov lepas.
Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Sazali Mohamad, berkata keldai dadah berusia 39 tahun itu ditahan pada 4 petang dan hasil pemeriksaan menemukan dua kepingan getah berwarna hitam tersembunyi dalam dua bagasi.
“Modus operandi sindiket adalah mencampurkan kokain biasa dengan bahan kimia lain dengan menggunakan teknik suntikan acuan,” katanya kepada pemberita di Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM di sini hari ini.
Katanya teknik itu menghasilkan kepingan getah hitam untuk dijadikan pelapik dalam bagasi manakala campuran bahan kimia itu bagi meneutralkan bau kokain supaya tidak dapat dikesan pihak berkuasa dan anjing pengesan.
Sazali berkata modus operandi itu pertama kali dikesan pihaknya dan suspek yang menaiki penerbangan dari Dubai juga pertama kali masuk ke negara ini.
Beliau berkata, suspek menerima upah kira-kira USD500 (RM2,293) bagi membawa masuk dadah tersebut.
Dalam kes berasingan Sazali berkata seorang jurusolek warga tempatan, 26, ditahan menyeludup rokok elektronik (vape) dan cecair vape mengandungi ganja menerusi perkhidmatan kurier di Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada 10 Nov lepas.
Beliau berkata, bungkusan itu diikrar sebagai barangan solekan, namun berisi 50 vape, 50 cecair vape yang mengandungi minyak ganja, serta ganja seberat 850 gram bernilai RM15,000.
Selain itu, Sazali berkata JKDM turut menyita sebuah kotak mengandungi 400 mangkuk besi yang telah diubah suai untuk menyembunyikan peket lut sinar mengandungi methamphetamine seberat 6.3kg bernilai RM230,000 di kargo KLIA pada 8 Nov.
Beliau berkata, jabatan itu juga mematahkan cubaan menyeludup keluar dadah jenis methamphetamine yang disorok dalam sembilan peket teh herba Cina seberat 9kg bernilai RM324,000 di kargo KLIA pada 23 Okt kira-kira 6 petang.
Katanya, kedua-dua sindiket itu menggunakan maklumat pengeksport palsu dan JKDM sedang giat mengesan suspek terlibat.
Semua kes disiasat bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Turut baca :
- {VIDEO} ‘Undi BN, PH masuk neraka’, polis siasat ketua Pemuda PAS Sik
- {VIDEO} Pelakon Zul Huzaimy mahu ‘sembelih’ orang bukan islam
Leave a Reply