Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anwar Ibrahim, berkata Perikatan Nasional (PN) seolah-olah ketandusan modal kempen sehingga sanggup menekan rakyat untuk mengeluarkan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar jika mereka menang PRU15.
Katanya, sebagai kerajaan mereka sepatutnya memikirkan cara lain untuk membantu rakyat, walaupun beliau sendiri bersetuju dengan keputusan itu sebelum ini.
“Itu (KWSP) duit rakyat dan (duit) rakyat dah tinggal sikit RM10,000, fahamlah sikit peranan kerajaan dan perdana menteri itu untuk pulihkan ekonomi, hentikan kontrak tanpa tender yang dibuat oleh perdana menteri dahulu.
“Sama ada Ismail (Ismail Sabri Yaakob) atau Muhyiddin (Yassin) termasuk DNB (Digital Nasional Berhad) tidak ada tender, bocor berbilion (ringgit), kontrak-kontrak diberikan begitu banyak semasa beliau jadi perdana menteri.
“Itu mesti dihentikan dan boleh selamatkan berbilion-bilion ringgit,” katanya ketika ditemui pada program santai bersama anak muda di Bukit Beruang.
Anwar berkata, kerajaan hari ini tidak seharusnya menyusahkan rakyat walaupun beliau pernah bersetuju dengan tindakan mengeluarkan KWSP sebelum ini.
“Tidak perlu menekan rakyat dari segi wang (KWSP) mereka bawa keluar sampai tak ada (duit) dah.
“Dulu saya cadang (keluar KWSP) saya setuju peringkat awal (tapi) dah keluar dah banyak duit. Sekarang tak ada modal (kempen) lain kah?,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin yang menegaskan gabungan itu bersedia melaksanakan penilaian semula pengeluaran KWSP secara bersasar, jika berjaya membentuk kerajaan selepas PRU15.
Muhyiddin menyuarakan kesediaan itu biarpun ia tidak termaktub dalam manifesto gabungan berkenaan.
Bagaimanapun menurut beliau, pengeluaran itu tertakluk kepada jumlah baki simpanan pencarum, katanya ketika sesi townhall PN selepas pelancaran manifestonya semalam.
Turut baca :
Leave a Reply