Tiga maut : Bapa mimpi anak, menantu pakai baju hitam putih

Bapa mangsa kemalangan maut, Zubaidah Abd. Rajak memberitahu, dia seolah-olah mendapat ‘petanda’ mengenai pemergian anak dan menantunya apabila bermimpi pasangan itu memakai baju berwarna hitam dan putih dua minggu lalu.

Arwah Zubaidah dan suami, Muhammad Nazirul Syafiq Azmi, 28, serta anak mereka, Muhammad Rizqi, setahun meninggal dunia selepas kereta jenis Honda Jazz yang dinaiki merempuh sebuah lori di Kilometer 216, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di sini, pagi tadi.

Menurut Abdul Rajak Sakiman, 66, dia tidak menceritakan mimpi itu kepada ahli keluarganya kerana menganggapnya sebagai ‘mainan’ tidur.

“Baru hari ini saya tahu kenapa saya mimpi anak dan menantu pakai baju hitam dan putih, rupa-rupanya ia seperti satu petanda mereka akan pergi meninggalkan keluarga buat selama-lamanya.

“Saya tidak sangka mereka terlibat nahas kerana sepatutnya kami sekeluarga berkelah beramai-ramai di Port Dickson, Negeri Sembilan tengah hari tadi (semalam),” katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Alor Gajah di sini, hari ini.

Mengulas lanjut dia berkata, aktiviti perkelahan tersebut sudah dirancang secara mengejut oleh mangsa dan adik-beradiknya malam tadi.

“Malam tadi, dia (arwah Zubaidah) dengan adik-beradiknya rancang hendak bercuti di Port Dickson. Jadi pagi tadi dua buah kereta termasuk saya bertolak dari Muar, manakala dua lagi iaitu kereta Zubaidah dan kakaknya bertolak dari Johor Bahru.

“Kakaknya sempat berjumpa dengan arwah Zubaidah sekeluarga di Plaza Tol Skudai. Dia (kakak arwah) dakwa melihat ‘air’ muka adiknya lain dan mereka kemudiannya meneruskan perjalanan.

“Pukul 1 tengah hari tadi, kami mula berasa tidak sedap hati kerana arwah Zubaidah tidak sampai.

“Tidak lama selepas itu, saya menerima panggilan daripada nombor tidak dikenali yang memaklumkan anak saya terlibat kemalangan,” katanya.

Ujarnya lagi, dia bagaimanapun tidak menyangka kehilangan anak, menantu dan cucu secara serentak dalam nahas tersebut.

“Apa-apapun saya reda, ini sudah kententuan. Sampai sahaja di hospital, saya terus bertanyakan keadaan cucu. Tak sangka mereka semua ‘pergi’ serentak,” katanya.

 

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*