PH hadapi PRU15 tanpa Dr Mahathir, tetap berdoa diberi kesihatan yang baik – Saifuddin

Pakatan Harapan (PH) sedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tanpa penglibatan Pengerusi parti Pejuang Dr Mahathir Mohamad, kata Saifuddin Nasution.

Ketika dihubungi, setiausaha agung PH itu berkata pihaknya menghormati pelawaan Dr Mahathir.

“Kami hormat sebagai rakan yang pernah kami ada pengalaman berjuang bersama. Kami faham ketika terdesak mencari kawan, semasa senang mungkiri janji.

“Ya. Kita berkongsi tujuan yang sama untuk kalahkan BN dan PN. Namun, PH hadapi PRU15 kali ini sebagai gabungan tanpa Mahathir.

“Kami doa Mahathir diberi kesihatan yang baik dan jika Mahathir pilih masuk bertanding kami ucap selamat maju jaya,” katanya kepada Malaysiakini.

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Mahathir bahawa dia menghulurkan tangan perdamaian dengan Anwar Ibrahim, menjelang PRU bulan depan.

Kata Mahathir, jika perlu memulakan langkah itu, dia akan melakukannya demi mengelakkan kerosakan kepada negara.

Bagaimanapun, Saifuddin berkata keutamaan PH untuk menyatukan parti komponen dan meneruskan pakatan pilihan raya dengan parti yang dipersetujui gabungan itu.

Namun, jelasnya kerjasama itu bukan dengan Dr Mahathir dan Pejuang.

“Kami pernah mempunyai hubungan dengan Mahathir pada PRU 2018 dengan niat dan tujuan yang baik iaitu menjatuhkan kerajaan kleptokrat.

“Hasilnya Mahathir jadi perdana menteri dengan dokongan parti-parti PKR, DAP dan Amanah. Ketika itu semua keputusan dibincang bersama tapi Mahathir letak jawatan tanpa sepatah pun bawa bincang.

“Pendirian Mahathir juga sangat jelas bahawa dia tidak pernah cuba mematuhi perjanjian yang dimeterai. Dia tahu tentang perancangan khianat dari dalam. Dan dia pilih untuk melanggar janji disepakati,” kata Saifuddin lagi.

Untuk rekod, pada 1998 Mahathir memecat Anwar daripada kerajaan dan Umno, seterusnya bekas timbalan perdana menteri itu didakwa di mahkamah.

Di sebalik peristiwa politik itu, Anwar dan Mahathir berdamai ketika parti pembangkang bersiap menghadapi pilihan raya umum ke-14.

Pada Sept 2016 – atau hampir 20 tahun – Mahathir menemui Anwar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan detik bersejarah itu kemudian berlanjutan kepada pembentukan kerjasama Pakatan Harapan (PH) dengan Bersatu.

Penyatuan dua bekas seteru ini membawa kemenangan PH pada pilihan raya umum 2018 meskipun pentadbirannya sekadar dapat bertahan selama 22 bulan.

Pembelotan Bersatu dan sekumpulan ahli parlimen PKR yang berpaling tadah melalui Langkah Sheraton pada 2020 kembali mengeruhkan hubungan kedua-dua pemimpin ini.

Kedua-dua penyokong Anwar dan Mahathir saling menuding antara sama lain bahawa pimpinan mereka menjadi punca keruntuhan kerajaan PH.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*