Naib Ketua PKR Batu, Rozan Azen Mat Rasip telah membuat laporan polis terhadap anggota polis yang didakwa menggunakan kekerasan berlebihan ketika menahannya dalam aktiviti politik di Batu pada Jumaat.
Menurut Rozan, yang bercakap kepada media selepas membuat laporan di ibu pejabat polis Dang Wangi, anggota polis itu telah menyebabkan beberapa kecederaan dengan menolaknya ke tanah dan menggarinya di belakang.
“Perbuatan itu telah mendatangkan kecederaan pada tangan saya akibat digari dengan ketat selama hampir empat jam.
“Juga sakit pada otot dan urat di leher, muka, terutamanya mata dan lidah saya, selain lutut. Ini dipercayai kesan saya dijatuhkan secara paksa oleh polis tersebut yang telah menggari tangan saya di belakang lepas dijatuhkan saya ke tanah,” kata Rozan.
Dia mendakwa bahawa tiada sebab untuk polis menggunakan kekerasan itu kerana dia memberi kerjasama dengan pihak berkuasa, dan mahu pihak berkuasa menyiasat anggota polis terbabit.
Kejadian berlaku kira-kira jam 6 petang Jumaat di tepi jalan berhampiran Taman Koperasi Polis 2 di Batu Muda, Kuala Lumpur.
Rozan berkata, dia sedang memeriksa kawasan mengundi berikutan kes dakwaan penduduk di kawasan DUN Batu berpindah tempat mengundi.
Rozan memberitahu pemberita bahawa dia telah pergi ke klinik swasta untuk mendapatkan rawatan, tetapi dinasihatkan untuk pergi ke kemudahan kerajaan untuk diperiksa dan mendapatkan laporan perubatan penuh dikeluarkan, kerana mahkamah dan pihak berkuasa hanya menerima dokumen daripada hospital kerajaan.
Bagaimanapun, apabila dia pergi ke jabatan kecemasan Hospital Kuala Lumpur, Rozan berkata dia diberitahu bahawa hanya polis boleh mengeluarkan arahan untuk pemeriksaan kesihatan sedemikian.
“Justeru, dengan membuat laporan polis hari ini, saya berharap pihak berkuasa mengeluarkan arahan pemeriksaan kesihatan supaya pihak hospital dapat menyediakan laporan yang boleh dijadikan bukti,” katanya.
Rozan juga menafikan kenyataan Ketua Polis Daerah Sentul Beh Eng Lai yang mendakwa dia menghalang tugas polis dan tidak bekerjasama.
Ditanya sama ada dia mempertimbangkan untuk memulakan tindakan undang-undang sivil, Rozan berkata dia akan memberi sedikit masa kepada polis untuk bertindak balas dan berharap mereka akan mengambil serius laporannya sebelum memutuskan sebarang tindakan lanjut.
Turut baca :
- Sami ‘lalok’ mengamuk di jalanan, ancam penduduk dengan kapak
- {VIDEO} Lelaki curang diserang teman wanita, anak isteri tanggung malu
Leave a Reply