Panas !!! Saksi ‘dedah’ nampak Jho Low dalam konvoi kereta ke rumah Najib

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu, ahli perniagaan Low Taek Jho – atau Jho Low – berada dalam salah satu kereta konvoi yang menuju ke rumah Najib Razak pada 2011.

Najib merupakan perdana menteri ketika itu.

Bekas pengarah urusan AmBank Bhd, Cheah Tek Kuang, berkata dia sendiri menyertai konvoi berkenaan kerana mahu mendapatkan tandatangan Najib selaku menteri kewangan ketika itu yang mahu membuka akaun bank.

Akaun semasa Najib – yang berakhir dengan nombor 694 – merupakan salah satu aspek utama kes pendakwaan dalam perbicaraan rasuah RM2.28 bilion Najib.

Ketika Najib melihat dari kandang tertuduh, saksi pendakwaan ke-39 itu berkata sebuah kereta datang ke rumahnya pada Jan tahun itu untuk membawa dia ke rumah tertuduh di Langgak Duta, Kuala Lumpur.

“Apabila kereta datang mengambil saya, ada konvoi dua tiga kereta. Saya berada di dalam kereta bersama pemandu, kereta lain pula ada orang lain.

“Apabila saya tiba di sana (rumah Najib), saya melihat Jho Low di dalam kereta yang lain,” kata Cheah semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah.

Apabila peguam bertanya sama ada Jho Low berada di premis rumah Najib, Cheah berkata, dia melihat ahli perniagaan terbabit ada di situ.

Bagaimanapun Cheah memberitahu dia tidak bercakap dengan Jho Low.

Katanya, dia pergi ke bahagian lain rumah itu dan bertemu Najib di situ.

Semalam, Cheah memberi keterangan, semasa di rumah itu Najib memberitahu tujuannya mahu membuka akaun semasa adalah bagi menerima derma AS$100 juta dari Arab Saudi.

Pasukan pembelaan tertuduh sebelum ini telah menunjukkan kepada mahkamah surat didakwa dihantar seorang putera Arab yang mengaku menjanjikan AS$1.17 bilion (RM5.44 bilion) derma kepada Najib.

Prosiding di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah akan disambung petang ini dan juga esok.

Semasa perbicaraan lain melibatkan rasuah RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd pada 2019, Cheah memberi keterangan bahawa dia bertemu Jho Low di rumah Najib dan mempunyai tanggapan negatif terhadap ahli perniagaan itu kerana sentiasa lewat dan tidak menepati masa dalam mesyuarat.

Najib kini dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.28 bilion dana 1MDB.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*