Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan “tangan tersembunyi” yang terbabit dalam projek kontroversi kapal tempur pesisir (LCS).
Pengarah Eksekutifnya, Cynthia Gabriel berkata, SPRM sebahagian besarnya membisu berhubung projek RM9 bilion itu, dengan bekas pengarah urusan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS), Ahmad Ramli Mohd Nor satu-satunya orang yang didakwa di mahkamah setakat ini.
“Ini amat mengecewakan kerana dia tidak boleh bertindak bersendirian, malah bukan individu utama dalam mendalangi skandal besar itu,” katanya pada sidang media.
Bulan lalu, bekas ketua tentera laut itu didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan pecah amanah membabitkan RM21.08 juta.
BNS ditugaskan membina enam kapal dalam projek LCS yang berada di bawah penelitian Parlimen berhubung kos dan kelewatan pembinaan.
Cynthia memetik beberapa nama individu dan syarikat pembinaan kapal yang menurutnya terlibat dalam beberapa skandal rasuah lampau di negara ini, tetapi didakwa tidak disiasat dengan betul.
“Kita perlu melihat individu penting berkait dengan skandal ini disiasat. Jika ada tangan tersembunyi terlibat, mereka tidak boleh terlepas daripada penelitian,” katanya.
Beliau mempersoalkan SPRM mengapa ia masih tidak membuka siasatan terhadap individu terbabit.
FMT tidak mendedahkan nama individu yang disebut C4 sementara menunggu ulasan mereka.
Penyelidikan C4 mendapati individu yang terlibat dalam skandal LCS didakwa dikaitkan dengan projek Scorpene, skandal rasuah yang timbul daripada pemerolehan kapal selam oleh kerajaan dari Perancis pada 2002.
“Mereka menggunakan modus operandi sama menerusi proksi dan syarikat cengkerang,” katanya sambil menambah rangkaian kompleks ini membolehkan individu korup mendapat manfaat daripada kelemahan sistem perolehan negara.
Cynthia berkata, Parlimen harus membahas dan meluluskan rang undang-undang pemerolehan kerajaan yang khusus secepat mungkin.
Katanya, jawatankuasa pilihan khas mesti dibentuk untuk meneliti urus niaga perolehan pertahanan berbilion ringgit dan merangka cadangan untuk menggubal perkara itu.
Memetik sifat rasuah transnasional, C4 juga menggesa kerjasama kerajaan Malaysia, Perancis dan Jerman untuk membuka siasatan terhadap firma terlibat dalam skandal LCS dan Scorpene.
“Sebagai penandatangan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Menentang Rasuah (UNCAC), Malaysia, Perancis dan Jerman mesti mematuhi rangka kerja bantuan undang-undang bersama semasa siasatan mengikut Perkara 46 UNCAC.”
Turut baca :
Leave a Reply