Hina Islam : Kerajaan akan buru hingga ke ‘lubang cacing’

Hina Islam : Kerajaan akan buru hingga ke ‘lubang cacing’.  Kumpulan atau individu yang bertindak menghina kesucian agama Islam akan dicari sehingga ke ‘lubang cacing’ bagi memastikan pelaku tidak terlepas daripada tindakan undang-undang.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, tindakan itu mencerminkan ketegasan kerajaan dalam membendung perkara tersebut daripada terus berlaku pada masa depan.

Menurutnya, hukuman yang dikenakan ke atas pelaku yang berbuat demikian sebelum ini jelas menunjukkan betapa seriusnya tindakan yang diambil oleh kerajaan.

“Pihak-pihak yang membangkitkan sama ada di media sosial dalam bentuk ucapan atau penulisan perkataan dan perbuatan yang menghina agama tidak terlepas daripada tindakan.

“Sama ada disiasat, didakwa dan juga kalau ada kes yang terbukti bersalah dengan peruntukan undang-undang sedia ada kita akan kenakan tindakan termasuk hukuman denda dan penjara,” katanya ketika diminta mengulas isu penghinaan terhadap Islam selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Replika Kunci Van Jenazah dan Sumbangan Musaadah Bencana di Masjid Mukim Ar-Rahman Kampung Repek di sini hari ini.

Ahmad Marzuk memberitahu, melihat kepada tindakan yang telah diambil oleh kerajaan sebelum ini perkara tersebut sepatutnya dibangkitkan lagi.

Katanya, hal ini kerana kerajaan sudah bergerak mengatasi masalah itu berlandaskan kepada kerangka undang-undang yang ada sama ada syariah atau sivil.

“Apa yang penting kerajaan sentiasa serius dalam menangani masalah berkait dengan isu penghinaan agama dan kita sentiasa tegas,” jelasnya.

Hina Islam : Kerajaan akan buru hingga ke ‘lubang cacing’

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*