Sebuah video tular di media sosial Indonesia memaparkan tindakan ibu seorang pengantin perempuan terpaksa naik ke pentas untuk menyanyi kerana tidak mampu membayar upah penyanyi dangdut yang diundang oleh anaknya, lapor laman berita Suara.com.
Berdasarkan video yang tular di media sosial itu, ibu pengantin perempuan pada awalnya naik ke pentas dan membuat pengakuan kepada tetamu bahawa dia tidak mampu membayar upah penyanyi yang diundang untuk memeriahkan acara tersebut.
“Si ibu menjelaskan bahawa dia tidak tahu penyanyi dangdut yang diundang anaknya merupakan penghibur yang memiliki kadar bayaran tinggi.
“Dia juga mengaku bahawa penyanyi tersebut dijemput kerana anaknya mahu dipandang tinggi dengan menampilkan hiburan pada majlis perkahwinannya.
“Keadaan itu membuatkan ibu pengantin terpaksa menyanyi sebuah lagu kerana tidak sanggup membayar penyanyi tersebut,” demikian menurut keterangan pada klip video itu.
Tambah keterangan pada video tersebut, bayaran yang dikenakan oleh penyanyi dangdut itu adalah sekitar 34 juta hingga 40 juta rupiah (RM10,181 hingga RM11,978).
Pengantin perempuan sendiri dikatakan baru membayar wang deposit sebanyak 10 juta rupiah (RM2,994).
Video itu menjadi tular dengan ramai netizen menyalahkan si anak kerana dikatakan menyusahkan ibu bapa dengan menjemput penyanyi yang perlu dibayar mahal.
“Mahu berkahwin tetapi menyusahkan ibu bapa,” kata seorang netizen.
“Jangan salahkan penyanyi. Saya berpendapat ini semua salah si anak. Nasihat saya, ibu bapa jangan hiraukan lagi urusan anak seperti ini,” kata seorang lagi pengguna.
Turut baca
- Juruterbang maut, seorang lagi parah dalam nahas pesawat terhempas di Perak
- Harga maksimum minyak masak 5kg RM34.70, bakal diumum setiap bulan
- {VIDEO} “Dosa dia saya tanggung…” Suami mengamuk isteri ditegur lelaki tak dikenali
Leave a Reply