Hector Bidoglio mengorak langkah kanan apabila memulakan kariernya sebagai pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan kemenangan bergaya 5-0 menjinakkan Kuala Lumpur (KL) City FC di Stadium Sultan Ibrahim, di sini semalam.
Ayam tambatan Harimau Selatan, Bergson Da Silva muncul wira pasukan apabila meledak dua gol pada babak pertama bagi memudahkan laluan JDT mengutip tiga mata.
Skuad kendalian Bidoglio dilihat lebih mendominasi permainan pada babak pertama sekali gus menenggelamkan aksi pasukan bimbingan Bojan Hodak yang cuba mengejutkan pasukan tuan rumah.
Pengadil perlawanan, Mohd. Fusser Mad Salleh menjadi tumpuan apabila menukar keputusan dengan menghadiahkan penalti kontroversi buat JDT setelah Fernando Forestieri dikasari Giancarlo Gallifuoco.
Peluang itu tidak disia-siakan Bergson apabila bijak memperdayakan Kevin Ray Mendoza untuk meletakkan JDT di hadapan pada minit ketujuh.
Pada minit ke-25, Bergson menambah jaringan hasil umpanan Corbin Ong dan sentuhan pertamanya membolehkan penyerang kelahiran Brazil itu melepasi kawalan Gallifuoco dan Kamal Azizi Zabri sebelum melepaskan rembatan lerek menewaskan Mendoza.
KL City turut berupaya mengatur serangan ke arah kubu JDT menerusi gerakan Jordan Mintah dan Paulo Josue namun ketumpulan serangan menyaksikan gawang yang dikawal Farizal Marlias sukar dibolosi.
Sebelum tamat babak pertama, Bergson hampir melengkapkan hatriknya menerusi gerakan satu dua dengan Forestieri namun rembatannya sekadar menggegar sisi gawang lawan.
Bersambung babak kedua, tidak banyak perubahan yang dilakukan pasukan pelawat untuk bangkit pada perlawanan itu setelah JDT terus mendominasi permainan.
KL City terus berada di kedudukan sukar apabila skuad Harimau Selatan sekali lagi dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil perlawanan setelah Arif Aiman Hanapi diterjah oleh Anwar Ibrahim dalam kotak penalti.
Leandro Velazquez yang diberikan tanggungjawab untuk mengambil sepakan penalti kedua pada minit ke-55 mudah menewaskan Mendoza biarpun penjaga gol itu sudah merebahkan badan ke posisi yang tepat.
Hodak dilihat sudah buntu untuk bangkit pada perlawanan itu setelah pemain terus beraksi longlai menjadikan JDT terus bernafsu melancarkan serangan untuk menambah jaringan.
Forestieri akhirnya berjaya meletakkan namanya dalam senarai penjaring apabila gerakan satu dua bersama Velazquez berjaya memerangkap barisan pertahanan lawan sebelum melepaskan rembatan menerjah jaring pada minit ke-70.
Safawi Rasid yang dibawa masuk ketika permainan berbaki 10 minit itu melengkapkan malam indah buat Bidoglio apabila menjaringkan gol kelima perlawanan menerusi rembatan deras dari luar kotak menewaskan Mendoza pada minit ke-83.
Leave a Reply