Bank digesa lebih bertanggungjawab atas penipuan kewangan

Pegawai KDN Ardianza Nasahidin (kiri) menerima memorandum daripada kumpulan yang mewakili mangsa penipuan kewangan di luar bangunan Parlimen.

Bank digesa lebih bertanggungjawab atas penipuan kewangan. Sebuah kumpulan yang mewakili mangsa penipuan kewangan menggesa bank komersial agar lebih bertanggungjawab atas kes-kes penipuan.

Ketika menyerahkan memorandum mengenai isu itu kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) di luar bangunan Parlimen, kumpulan yang disokong PKR itu berkata, 68% daripada jenayah komersial sejak Mei 2020 melibatkan penipuan dalam talian.

Kes-kes ini mendatangkan kerugian yang dianggarkan sebanyak RM3.54 bilion, iaitu purata RM4.07 juta setiap hari.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR Lee Chean Chung berkata, Oversea-Chinese Banking Corp di Singapura memberikan RM44.4 juta sebagai bayaran muhibah kepada kira-kira 790 mangsa penipuan awal tahun ini.

Beliau menggesa agar kod industri dilaksanakan untuk bank memberikan pampasan bagi transaksi yang dibuat tanpa kebenaran pemilik akaun. Tambahnya, amalan ini diguna pakai di United Kingdom.

“Bank komersial tidak bertanggungjawab,” katanya pada sidang media.

“Terdapat kes-kes di mana bank sepatutnya memaklumkan mangsa mengenai beberapa transaksi yang tidak tetap, tetapi tidak berbuat demikian kerana ia berlaku pada hari cuti umum.”

Pemantauan Bank Negara Malaysia (BNM) terhadap bank komersial terlalu lemah, kata kumpulan itu, dan mereka menggesa bank pusat itu untuk memastikan bahawa institusi kewangan lebih bertanggungjawab atas penipuan kewangan.

Lee berkata, BNM sepatutnya mensyaratkan bank menubuhkan unit bantuan penipuan kewangan untuk mengendalikan kes-kes sebegini.

ADUN Semambu itu juga berkata, polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlu berbincang dengan Jabatan Peguam Negara untuk mengkaji semula undang-undang berkaitan mengikut keperluan semasa.

Beliau menegaskan bahawa undang-undang yang hanya meliputi “kesalahan kecil” tidak seharusnya digunakan untuk mendakwa pelaku, dan menggesa agar tindakan hukuman yang lebih berat dikenakan.

Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil, yang menyambut kumpulan itu di luar pekarangan bangunan Parlimen berkata, ibunya sendiri menjadi mangsa penipuan dan kehilangan RM75,000 dalam simpanan Tabung Haji.

“Sehingga hari ini, kami tidak tahu siapa yang bertanggungjawab,” katanya.

Kumpulan itu menyerahkan memorandum kepada Ardianza Nasahidin, seorang pegawai bahagian keselamatan KDN..

 

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*