Rangka ditemukan, dipercayai orang hilang sejak 10 bulan lalu

Siasatan awal terhadap nombor pendaftaran kenderaan mendapati ia dikaitkan dengan laporan kehilangan dibuat di Pasir Gudang, Johor, oleh ahli keluarga lelaki bernama Muhammad Iman Aqmar Dzulkarnain.

Polis menemukan satu rangka manusia dalam sebuah kereta yang ditarik keluar dari Sungai Api-Api di Nenasi, Pekan, dipercayai mayat seorang lelaki yang dilaporkan hilang, sejak hampir 10 bulan lalu.

Ketua Polis Pekan Mohd Zaidi Mat Zin, berkata mayat ditemukan dalam kenderaan Nissan Grand Livina yang dijumpai seorang lelaki warga emas semasa dia mengalihkan besi dari jalan ke tepi sungai berkenaan, pada 11.40 pagi semalam.

“Kenderaan itu mempunyai kerosakan pada bahagian hadapan, kiri dan kanan selain pemeriksaan di dalamnya menemukan mayat yang diselaputi lumpur serta pas pekerja yang didaftarkan atas nama Muhammad Iman Aqmar.

“Siasatan awal terhadap nombor pendaftaran kenderaan mendapati ia dikaitkan dengan laporan kehilangan yang dibuat di Pasir Gudang, Johor oleh ahli keluarga lelaki bernama Muhammad Iman Aqmar Dzulkarnain,” katanya menerusi kenyataan.

Zaidi berkata, rangka mayat itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, untuk bedah siasat manakala kenderaan itu ditarik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan bagi siasatan lanjut.

Pada 30 Okt tahun lalu, seorang wanita Asmawati Kadir, 55, membuat laporan polis berhubung kehilangan anaknya Muhammad Iman Aqmar, 24, yang didakwa gagal dihubungi selepas keluar rumah di Johor, sekitar 1 pagi, 29 Okt 2021 untuk ke tempat kerja di Kemaman, Terengganu.

Semasa itu, Iman Aqmar dikatakan memandu kereta Nissan Grand Livina seorang diri dan ahli keluarganya memuat naik gambar mangsa serta kereta itu di media sosial bagi meminta bantuan orang awam mencarinya.

Turut baca

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*