Berang cinta ditolak, pengawal keselamatan wanita dibelasah, diugut bunuh

Seorang pengawal keselamatan wanita dipukul dan diugut seorang lelaki dikenali di pondok keselamatan sebuah apartmen Bandar Puteri Puchong, di sini, 25 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, pihaknya mengesan video kejadian berdurasi empat minit 29 saat menerusi Facebook semalam.

Katanya, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang menerima laporan berkait kejadian daripada mangsa berusia 32 tahun, pukul 1:30 tengah hari, kelmarin.

“Ketika mangsa sedang bertugas di pondok pengawal keselamatan lebih kurang 12.30 tengah malam, suspek lelaki yang dikenali datang dan meluahkan perasaan cinta kepadanya.

“Mangsa menolak kerana sedang dalam proses perceraian. Lelaki tersebut tiba-tiba marah dan bertindak mencederakan mangsa di bahagian leher menggunakan pisau lipat namun sempat ditepis mangsa,” ujarnya dalam kenyataan.

Menurut beliau, suspek kembali ke lokasi dan menumbuk kepala serta mencekik leher mangsa sebelum rakan sekerja mangsa meleraikan kejadian, 3.30 pagi pada hari sama.

“Bukan itu sahaja, suspek juga mengugut untuk membunuh mangsa.

“Siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 324 dan 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6 Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 atas kesalahan mencederakan menggunakan senjata, melakukan ugutan jenayah, serta membawa senjata berbahaya di tempat awam,” katanya.

Susulan laporan diterima, pihaknya kini giat mengesan suspek manakala kes masih dalam peringkat siasatan.

Sehubungan itu, pihak IPD Serdang menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau komen yang boleh mengganggu proses siasatan.

Baca juga :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*