Polis bercadang memperluaskan kempen diskaun saman ke balai polis di seluruh negara pada pertengahan bulan depan.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Mohd Yusri Hassan Basri berkata mesyuarat akan diadakan bagi menentukan kadar diskaun saman yang akan ditawarkan itu.
“…kita akan kaji diskaun yang akan diberikan sama ada 60% atau mungkin kurang daripada itu kerana kita akan tengok dalam pelbagai sudut,” katanya menurut Bernama ketika ditemui di kaunter semakan dan bayaran saman trafik polis sempena Program Dua Tahun Kerajaan Madani (2TM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Menurutnya, bayaran saman berjumlah RM1.03 juta dikutip daripada 2,750 pengunjung yang hadir merebut tawaran diskaun 60% setakat 3 petang hari pertama penganjuran Program 2TM di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) mulai hari ini hingga Ahad.
“Kempen bayaran saman 60% ini bermula 9 pagi semalam dan setakat 3 petang, kita berjaya menyelesaikan 11,620 saman,” katanya sambil menambah polis menyediakan 25 kaunter semakan dan bayaran saman, termasuk tujuh kaunter khas dan 21 mesin e-bayaran serta 520 kerusi untuk orang ramai menunggu di KLCC.
Beliau berkata, pengunjung juga boleh membayar saman menerusi aplikasi MyBayar bagi menjimatkan masa tanpa perlu beratur panjang dan kupon diskaun 60% boleh didapati di kaunter penebusan kupon MyBayar PDRM pada program 2TM semalam.
“Saya menasihati orang ramai menggunakan peluang ini membayar saman yang telah kita berikan diskaun khas sebanyak 60% bersempena Program 2TM memandangkan ia boleh membantu dari segi kewangan.
“Saya juga menggalakkan orang ramai menyegerakan bayaran saman agar tidak dikenakan tindakan undang-undang, seperti waran tangkap serta disenaraihitamkan untuk urusan memperbaharui cukai jalan dan lesen.”
Baca juga :
Leave a Reply