Pemerasan RM1.25 juta, tujuh polis ditahan bawah SOSMA

KUALA LUMPUR – Tujuh anggota dan pegawai kanan polis yang disiasat berhubung kes pemerasan RM1.25 juta mata wang kripto ditahan semula di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Mereka yang berusia 32 hingga 50 tahun itu berpangkat Asisten Komisioner (ACP), Deputi Superintendan (DSP), Inspektor, Sarjan, dan Lans Koperal.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, enam daripada mereka direman selama 28 hari mengikut Seksyen 4(5) SOSMA 2012 bermula semalam sehingga 5 Jun ini.

“Hasil risikan dan siasatan mendapati, kumpulan ini bertindak secara bersama untuk melakukan jenayah serius bagi mendapatkan faedah material.

“Pengumpulan maklumat yang dijalankan juga mendapati kumpulan ini memenuhi elemen yang ditakrifkan di bawah Seksyen 130U Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, seorang lagi pegawai kanan polis berpangkat Inspektor juga ditahan selepas menyerah diri semalam.

“Individu berkenaan ditahan mengikut Seksyen 4(1) SOSMA 2012 dan reman ke atas suspek akan dibuat hari ini,” katanya.

Pada 3 Mei lalu, Razarudin memaklumkan tiga pegawai berpangkat ACP, DSP dan Inspektor dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman ditahan di sekitar Jalan Tun Razak di sini.

Penahanan tersebut bagi membantu siasatan kes pemerasan susulan laporan polis yang dibuat malam sebelumnya.

Dua lagi yang ditahan, masing-masing seorang Inspektor dan Sarjan.

Susulan penahanan kelima-lima individu terbabit polis kemudian menahan seorang lagi Lans Koperal yang berkhidmat di jabatan yang sama.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*