Calon Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya kecil Kuala Kubu Bharu Pang Sock Tao berkongsi keputusan SPM dan UPSR yang menunjukkan keputusan cemerlang semua A.
Bekas setiausaha akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming itu berbuat demikian sebagai maklum balas kepada cabaran Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari semalam.
Wanita 31 tahun dari Ampang itu mengambil SPM pada 2010 dan mendapat keputusan semua A, meliputi A+, A dan A-.
Lebih menarik, pelajar Sekolah Menengah Chung Hua di Port Dickson, Negeri Sembilan itu mendapat keputusan lebih baik dalam mata pelajaran Bahasa Melayu (A) dan Bahasa Inggeris (A+), berbanding Bahasa Cina (A-).
“Yang Berhormat Pasir Mas, Tuan Ahmad Fadhli Shaari bertanya tentang UPSR dan SPM saya.
“Inilah jawapannya.
“Saya terhutang budi kepada guru-guru yang pernah mengajar saya.
“Ucapan terima kasih sahaja memang tidak cukup sebagai balasan atas jasa bakti yang telah dicurahkan dalam mendidik saya,” katanya.
Dia juga mengucapkan terima kasih kepada “daddy” dan “mommy” yang tidak pernah mengabaikan pendidikan anak-anak.
Fadhli membuat cabaran itu semalam selepas calon Khairul Azhari Saut berdepan kontroversi berkaitan status pengajian.
Ini susulan posternya yang mencatat dia memperoleh diploma eksekutif pengurusan dari Universiti Malaya (UM) pada 2019 dan sarjana eksekutif dari Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dua tahun selepas itu.
Orang ramai mempertikaikan bagaimana dia melompat terus ke peringkat sarjana tanpa mengambil ijazah sarjana muda dulu, selain bagaimana dia menghabiskan pengajian pada 2021 ketika perintah kawalan pergerakan (PKP).
Bagaimanapun pemegang diploma dilapor boleh melanjutkan pengajian terus ke peringkat sarjana eksekutif di UMPSA kelayakan pengalaman kerja yang ditetapkan serta melepasi pengiktirafan pembelajaran berasaskan pengalaman terdahulu.
“Isu pendidikan calon PN telah selesai. Pihak Universiti (UMP) telah keluarkan kenyataan berhubung kelulusan master (sarjana) eksekutif pengurusan perniagaan yang dimiliki beliau bahkan transkrip sijil juga telah disebarkan.
“Sekarang, saya mencabar calon PH pula untuk nyatakan pendidikan rendah dan menengahnya. Silakan. Di manakah peperiksaan UPSR (Ujian Penilaian Sekolah Rendah) dan SPM (Sijil Peperiksaan Malaysia) diambil, tentu menarik untuk diketahui,” ujarnya.
Sementara itu, Pang juga berkongsi sijil UPSR pada 2005 yang menunjukkan dia mendapat A untuk semua subjek.
DUN KKB menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Pang, Khairul, Hafizah Zainudin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (bebas).
Kuala Kubu Bharu dikenali sebagai kerusi campuran dengan pecahan pengundi Melayu (46 peratus), Cina (30 peratus) dan India (18 peratus) dan lain-lain (6 peratus).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan PRK DUN Kuala Kubu Bharu akan diadakan pada 11 Mei manakala tarikh undi awal pula ditetapkan pada 7 Mei depan.
Turut baca :
Leave a Reply