Suspek tembak di KLIA pernah ditahan kerana ugut isteri

Suspek yang terlibat dalam kes tembak di Balai Ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 1 pernah ditahan pada Dis tahun lalu kerana mengugut isterinya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata ugutan itu menjadi punca wanita itu yang menjadi sasaran sebenar mengupah pengawal peribadi atas faktor keselamatan.

Shuhaily juga berkata penembak, Hafizul Marawi, 38, mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan samun dan menyamar sebagai penjawat awam.

“Kami sarankan suspek untuk menyerah diri di mana-mana balai polis kerana apa yang sudah terjadi sudah pun terjadi.

“Pihak polis akan menyiasat di bawah Seksyen 307 atas cubaan membunuh dan Seksyen 8 atas kesalahan memiliki senjata secara haram,” katanya pada sidang media di KLIA 1, Sepang hari ini.

Tambahnya, siasatan awal mendapati suspek telah memperoleh senjata api secara haram dan gerakan memburu giat dilaksanakan di seluruh negara.

Setakat ini, polis menyimpulkan tiada unsur keganasan kerana ia adalah dendam peribadi dengan sasaran tertentu.

Shuhaily turut mengesahkan suspek sedang melalui proses perceraian dengan isterinya.

Mengenai keadaan mangsa tembakan, Shuhaily berkata, pengawal peribadi itu kini dalam keadaan kritikal selepas ditembak di bahagian perut.

Awal hari ini, dilaporkan seorang individu dipercayai menembak isterinya tetapi sebaliknya terkena pengawal peribadi dalam kejadian tembak pukul 1.15 pagi.

Menurut polis, suspek dipercayai melarikan diri ke utara.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata siasatan mendapati suspek berniat menembak isterinya.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*