HANCUR hati seorang ibu melihat anak lelakinya terbujur kaku selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Tanjong Minyak, Bukit Rambai, Melaka pada awal pagi Selasa.
Wanita dipercayai ibu mangsa yang menunggang motosikal dilihat gagal mengawal emosi sebaik membuka kain yang menutupi mayat dan mendapati insan tersayang meninggal dunia sehari sebelum Aidilfitri.
Menerusi video tukar di media sosial sejak Selasa, wanita itu dan beberapa individu lain dipercayai ahli keluarga mangsa menjerit memanggil nama mangsa yang berlumuran darah dan sudah tidak bernyawa.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, mangsa Muhammad Amin Fakhrullah Mohd Faiez, 19, maut ditempat kejadian akibat parah di kepala selepas motosikal ditunggangnya bertembung sebuah kereta dari arah bertentangan.
“Siasatan awal mendapati, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 dipercayai dalam dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari arah Bukit Rambai ke Tanjong Minyak.
“Sebaik sampai di tempat kejadian, sebuah kereta jenis Honda City dipandu pelajar universiti berusia 22 tahun dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan mangsa,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Tambahnya, siasatan kemalangan masih diteruskan dan pihak polis telah mengambil sampel darah pemandu terlibat untuk ujian toksikologi.
“Mayat telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Turut baca :
Leave a Reply