“Lebih percaya orang luar dari anak sendiri…” Anak kesal ibu layan orang tak kenal di WhatsApp, kena scam lebih RM60,000.
Seorang wanita terpaksa menelan kepahitan selepas melihat sejumlah wang besar milik ibunya hilang begitu sahaja akibat terlibat dalam skim penipuan di aplikasi WhatsApp.
Menerusi hantaran dimuat naik di Facebook Nur Shalwani Shari, dia meluahkan rasa kecewa terhadap sikap ibunya yang kerap melayan mesej daripada individu tidak dikenali di aplikasi tersebut.
Pada masa sama, dia juga sempat memberitahu bahawa perkongsian itu bertujuan untuk memberi pengajaran terhadap orang lain agar tidak menerima nasib yang sama.
“Jumlah keseluruhan mak saya kene tipu sebab terlalu pandai dan usaha untuk gali kubur sendiri ialah RM58,745.
“Minta tolong sedara mara, jiran atau kenalan, kalau umi nak pinjam lagi duit atau merayu-rayu nak pinjam duit lagi, itu atas risiko sendiri.
“Kami adik beradik dah tak nak masuk campur dah. Sejak saya kerja di Johor, dah empat tahun ni, duit tiap-tiap bulan bagi RM1,000, abang slalu bagi RM300 ke RM400 sebulan, akak sulung slalu bagi RM500 ke RM600, tapi tak tahu lah apa lagi tak cukup,” luahnya.
Katanya, dia dan adik beradiknya yang lain pernah memesan kepada ibunya agar tidak melayan perkara yang tidak jelas di telefon bimbit, namun pesanan tersebut dikatakan tidak diambil serius.
Dia juga mendakwa, ibunya lebih mempercayai kata-kata orang luar berbanding anak-anaknya sendiri.
Lebih membangkitkan kemarahannya, segala kerugian yang sebenarnya dikatakan lebih RM60,000 itu terpaksa ditanggung olehnya dan adik-beradiknya.
Bagaimanapun, dalam satu hantaran lain, dia dilihat sudah melakukan laporan polis walaupun sudah mengetahui bahawa tiada peluang untuk mendapat semula wang tersebut.
“Saya dan suami dah ke balai polis untuk buat laporan, kami tahu duit yang hilang memang takkan dapat balik semua. Tapi untuk bagi umi sedar yang dia memang sudah ditipu.
“Kecewa, marah, sedih, penat semua ada, tapi mak masih tak sedar. Saya rasa saya dan suami dah selesai bahagian kami. Selebihnya kami serah pada ALLAH dan buat apa yang kami mampu lepas ni,” dakwanya.
Sementara itu, dia turut memberitahu akan menukar segala kontak daripada nombor serta sosial media yang dimiliki ibunya selepas kejadian itu.
Turut baca :
Leave a Reply