Harapan Johor Darul Ta’zim (JDT) mencipta sejarah terulung bola sepak negara menjadi kenyataan apabila menjulang trofi Piala Malaysia dengan menewaskan Terengganu FC (TFC) 3-1 pada aksi final malam tadi.
Pada perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, skuad Harimau Selatan selaku juara bertahan membariskan kesebelasan terbaik dengan pemain seperti Bergson da Silva, Arif Aiman Hanapi dan Fernando Forestieri mengetuai jentera serangan.
Sementara itu, TFC seperti dijangka mempertaruhkan penyerang import sensasi, Ivan Mamut yang bergandingan dengan Sony Norde dan Habib Haroon.
Namun, skuad Sang Penyu dikejutkan apabila pengadil perlawanan menghadiahkan sepakan penalti kepada JDT seawal minit keenam selepas Forestieri dijatuhkan.
Kesempatan tersebut digunakan oleh Bergson untuk meledak gol pertama dengan memperdaya penjaga gol TFC, Suhaimi Husin.
Gol tersebut nyata menaikkan semangat TFC untuk memperkemaskan jentera serangan dengan melakukan serangan ke atas kubu skuad kendalian Esteban Solari itu.
Tekanan yang diberi membuahkan hasil selepas giliran TFC dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-21 yang berjaya disempurnakan oleh Ivan Mamut.
Bersambung pada babak kedua, kedua-dua pasukan dilihat masih gagal mempamerkan corak permainan sebenar dan lebih berhati-hati kerana keadaan padang SNBJ yang tidak begitu sempurna.
- Turut baca : {VIDEO} “Patutnya kurangkan kelajuan…” Melambung tergolek, bergesel dengan kereta elak ambulans potong ‘double line’
Tuah dilihat lebih memihak kepada JDT apabila pemain gantian, Feroz Baharudin meledak gol kemenangan hasil sepakan penjuru pada minit ke-73 yang diambil oleh Heberty Fernandes.
JDT mengesahkan kemenangan selepas meledak gol ketiga juga menerusi penalti yang disempurnakan Arif Aiman pada masa kecederaan.
TFC berusaha untuk bangkit tetapi gagal menembusi benteng skuad Harimau Selatan dengan keputusan kekal sehingga tamat perlawanan.
Kemenangan tersebut menyaksikan JDT meraih gelaran ‘double quadraple’ selepas mempertahankan semua empat trofi musim ini termasuk Piala Sumbangsih, Piala FA dan Liga Super.
Leave a Reply