Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi memerintahkan Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria membayar ganti rugi RM250,000 kepada Lim Guan Eng berhubung hantaran Facebook dianggap memfitnah bekas ketua menteri Pulau Pinang itu.
Panel tiga hakim terdiri daripada S Nantha Balan, Nazlan Ghazali dan Choo Kah Sing menolak rayuan Razman selepas memutuskan keputusan Pesuruhjaya Kehakiman, Amarjeet Singh (kini Hakim Mahkamah Tinggi) dibuat dengan betul bahawa catatan Facebook itu berunsur fitnah. Mahkamah Rayuan juga memerintahkan Razman membayar kos RM20,000.
Hakim Nantha Balan yang menyampaikan keputusan sebulat suara mahkamah, berkata catatan Facebook yang dibaca secara pantas atau sekali pandang oleh pembaca, memfitnah Lim dengan mencadangkan, menuduh atau menyatakan Lim antitudung, yang dalam konteks Malaysia berunsur fitnah terhadap Lim.
“Kami bersetuju dengan pesuruhjaya kehakiman bahawa perkataan dalam kapsyen ‘doa moga ini tidak betul’ dan ‘kalau ianya benar’ (dalam hantaran Facebook) tidak bertindak sebagai penawar dan tidak menghapuskan sengatan itu yang mencadangkan secara jelas atau secara tersirat plaintif (Lim) seorang yang menggalakkan aktiviti diskriminasi dan mengabaikan sensitiviti umat Islam Malaysia, khususnya di Pulau Pinang.”
Beliau berkata, terdapat 61 komen pembaca di hantaran Facebook itu, malah ada juga yang memberi amaran kepada Razman bahawa beliau berisiko dikenakan saman fitnah.
Nantha Balan berkata, mahkamah juga mendapati tiada merit berhubung hujahan peguam Norazli Nordin yang mewakili Razman bahawa penerbitan hantaran itu tidak dibuktikan kerana tiada bukti bebas bahawa mana-mana pihak ketiga mempunyai akses kepada akaun Facebook itu.
Katanya, setelah mempertimbangkan perkara itu dengan teliti dan mengambil kira penghujahan bertulis yang komprehensif serta penjelasan lisan, mahkamah mendapati tiada kesilapan boleh dirayu untuk mewajarkan sebarang campur tangan perayu dalam kes itu.
Lim menyaman Razman berhubung hantaran Facebook pada 18 Nov 2017 yang mendakwa Lim menyokong penuh larangan pengambilan pekerja hotel memakai tudung, dan ia turut disokong kerajaan Pulau Pinang.
Dalam pernyataan tuntutannya, Lim berkata, perkataan digunakan dalam hantaran Razman daripada sumber tidak sahih dan bertujuan mencemarkan nama, reputasinya serta menggambarkannya pemimpin tidak menghormati Islam dan budaya Melayu.
Pada 14 Mac 2022, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membenarkan tuntutan Lim dan memerintahkan Razman membayar Lim ganti rugi am RM150,000 dan ganti rugi teruk RM100,000.
Amarjeet juga memerintahkan Razman membuat permohonan maaf secara terbuka di Facebooknya dan ditag di Facebook Lim dengan hantaran permohonan maaf itu.
Razman yang juga ketua pembangkang DUN Perak turut diarahkan tidak mengulangi kenyataan itu di Facebook pada masa depan. Keputusan itu mendorong Razman memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.
Leave a Reply