Guna ‘kabel’ cuba beli Pharmaniaga harga murah, ‘langkah mayat saya dulu’, kata Tok Mat

Menteri Pertahanan Mohamad Hasan mendakwa pihak tertentu cuba menggunakan ‘kabel’ untuk membeli Pharmaniaga Bhd dengan harga murah.

Menurut beliau, ada pihak membuat bidaan melalui pemimpin tertinggi untuk membeli syarikat berkaitan tentera itu.

Katanya ketika merasmikan Pelan Strategik Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) 2023-2025, perkara itu dibangkitkan di mesyuarat Jemaah Menteri.

“Ada orang buat bidaan melalui pemimpin tertinggi nak beli syarikat kita. Nak beli murah-murah. Jadi saya cakap tidak. Langkah mayat saya dulu.

“Biar saya uruskannya. Biar kita sama-sama uruskan syarikat kita dan saya sangat pasti kita boleh bangunkan sendiri,” katanya menurut Berita Harian.

Pharmaniaga ialah anak syarikat Boustead Holdings, bergiat dalam industri farmaseutikal dan penjagaan kesihatan bersepadu yang ditubuhkan pada 1994.

Pharmaniaga dikelaskan sebagai syarikat Nota Amalan 17 (PN17) pada Februari tahun ini, selepas ia melaporkan kerugian bersih RM664.39 juta pada suku keempat Tahun Kewangan 2022.

LTAT memegang 8.6% saham dalam Pharmaniaga, manakala cabang pelaburannya, Boustead Holdings Bhd memiliki 52% saham.

Kerajaan melantik Pharmaniaga Logistic Sdn Bhd (PLSB), anak syarikat Pharmaniaga untuk membekalkan lebih 700 produk ubat dan bukan ubat bagi kegunaan sektor kesihatan.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*