Dituduh ‘jual agama’, Baby Shima saman ketua Pemuda PAS Kuantan, PU Syed

Penyanyi dangdut, Baby Shima menfailkan saman terhadap Pencetus Ummah (PU) Syed dan Ketua Pemuda Pas Kuantan, Abd. Rahman Mat Noor berhubung kata-kata fitnah.

Writ saman dan pernyataan tuntutan dikemukakan Shima atau Nor Ashima Ramli menerusi peguam Muhammad Noor Azfar Noor Azmi di Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak dan Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Kelantan.

Muhammad Noor Azfar berkata, setakat tarikh kenyataan ini, proses penyerahan kertas kausa kepada pihak yang dinamakan sedang dilaksanakan bagi maksud memenuhi keperluan undang-undang.

“Kedua-dua tindakan terhadap individu-individu yang dinamakan difailkan di atas kausa tindakan saman fitnah (defamation) dan ‘malicous falsehood’ di bawah undang-undang ‘tort’,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Mohammad Noor Azfar lagi, pihak Baby Shima juga tidak berhasrat untuk memberikan komen lebih lanjut buat masa ini.

Katanya, langkah berkenaan diambil sebagai menghormati proses mahkamah, selain pihak yang dinamakan belum menerima kertas-kertas kausa yang difailkan.

“Kami juga telah menerima arahan untuk mengambil tindakan dalam masa terdekat terhadap beberapa individu dan syarikat lain yang telah terlibat dalam menyalahgunakan nama anak guam kami bagi tujuan komersil.

“Anak guam kami merizabkan haknya untuk meneruskan apa-apa tindakan terhadap mana-mana pihak yang terlibat mengikut lunas undang-undang negara,” jelasnya.

Tuntutan saman itu dipercayai dibuat selepas Syed atau nama sebenarnya Syed Mohd. Bakri Syed Ishak didakwa memfitnah dan menuduhnya tidak mengerti soal halal dan haram berhubung penganjuran sesuatu konsert.

Manakala Abd. Rahman pula pernah mendakwa penyanyi terbabit menjual agama kerana hanya mengenakan tudung mengikut majlis tertentu.

Ini susulan pengumuman namanya sebagai artis undangan program Hari Bandaraya Mesra Komuniti di Kuantan, Pahang yang kebetulan berlangsung pada sambutan Israk dan Mikraj.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*