Panggilan tak jawab bongkar kematian tukang paip

Kes kematian seorang tukang paip di dalam bilik sewa rumah kedai di Taman Muda, Pandan Indah  diklasifikasi sebagai mati mengejut.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan dari Hospital Ampang pada pukul 8.59 pagi.

Menurutnya, pihak hospital meminta bantuan polis selepas seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun dipercayai tidak sedarkan diri di dalam bilik rumah sewa.

“Bertindak atas maklumat, polis bersama sepasukan anggota Bomba dan Penyelamat (BBP) Pandan Indah serta pasukan perubatan Hospital Ampang bergegas ke lokasi kejadian.

“Mangsa ditemui dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Hospital Ampang.

“Hasil pemeriksaan pada tubuh si mati mendapati tiada unsur jenayah,” katanya.

Ujarnya, kejadian itu disedari rakan sekerja mangsa apabila dia gagal menghubungi lelaki terbabit.

“Berikutan itu, lelaki tersebut segera ke bilik sewa mangsa pada pukul 8.30 pagi dan mendapati pintu berkunci.

“Saksi itu kemudiannya meminta bantuan pihak bomba untuk memecahkan pintu bilik,” jelasnya.

Beliau memberitahu, mayat mangsa dihantar ke Hospital Ampang untuk dibedah siasat. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu laporan bedah siasat.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*