JDT mahu jadikan SSI ‘kubu’ digeruni lawan

JOHOR BAHRU: Kapten Johor Darul Ta’zim (JDT), Jordi Amat mahu memastikan skuad Rusa menjadi ‘korban’ seterusnya apabila menerima kunjungan Negeri Sembilan dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Sabtu ini.

Katanya, skuad Harimau Selatan kini berada pada tahap terbaik selepas mencatatkan kemenangan besar 6-1 menewaskan Kuala Lumpur City FC, Selangor FC (4-0) dan Penang FC (5-0) ketika beraksi di laman sendiri.

Menjelang pertemuan dengan Negeri Sembilan, pemain pertahanan tengah itu berkata, JDT telah melakukan persiapan rapi bagi memastikan pasukan meneruskan rentak kemenangan, sekali gus menjadikan SSI sebagai ‘fortress’ digeruni lawan.

“Pasukan mencatatkan kemenangan selesa ketika berdepan aksi sukar menentang KL City FC baru-baru ini yang menyuntik semangat buat rakan sepasukan untuk meneruskan momentum kemenangan tanpa mengira lawan siapa lawan.

“Kami menganggap setiap perlawanan adalah penting dan lawan yang kami hadapi sebagai pasukan yang kuat. Mentaliti ini membuatkan kami lebih berhati-hati dan sentiasa konsisten dalam setiap perlawanan.

“Sebagai pasukan yang dihormati lawan, kami mempunyai tanggungjawab untuk menjaga reputasi JDT dan akan pastikan setiap pasukan dihadapi dengan penuh keyakinan dan berintensiti tinggi,” katannya.

Jordi memberitahu, pasukan juga berada dalam mood positif setelah proses pemulihan menyaksikan tiada ada pemain yang bergelut kecederaan dan cergas sepenuhnya untuk diturunkan berdepan Negeri Sembilan.

Mengenai kekuatan skuad kendalian K. Devan, Jordi memberitahu, kelab enggan mentafsir apa yang dilakukan lawan sebaliknya memberi tumpuan terhadap latihan intensif yang diterapkan ketua jurulatih, Esteban Solari.

Dia berharap penjaring terbanyak JDT, Fernando Forestieri akan kembali menyertai pasukan setelah diketepikan pada aksi terdahulu kerana kurang cergas.

“Kecederaan yang dialami Forestieri tidak begitu serius dan harapnya dia dapat diturunkan dan menjadi penggempur utama untuk merobek gawang lawan, sekali gus mengekalkan rekod menang 100 peratus,” katarnya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*