Adik maut dicekik abang kandung, ibu kongsi punca kejadian

MELAKA: “Saya tak sangka kejadian berlaku depan mata kerana abangnya sebelum ini memang budak baik. Cuma baru-baru ini dia mengalami trauma kerana mendakwa menjadi mangsa buli di sekolah dan pernah meracau, namun dikatakan telah sembuh selepas dibawa berubat”.

Itu dakwaan saksi kejadian kes seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun yang maut dipercayai dicekik abang kandungnya berusia 14 tahun di Kampung Bukit Piatu di sini.

Wanita berumur 31 tahun yang juga jiran mangsa berkata, kejadian tersebut disedari ibu kedua beradik itu melalui kamera litar tertutup (CCTV) diakses menggunakan telefon pintarnya, kira-kira pukul 12 tengah hari tadi.

Katanya, semasa insiden hanya mangsa dan suspek sahaja berada dalam rumah berkenaan manakala ibu bapa mereka sedang bekerja.

Jelasnya, mangsa sepatutnya pergi ke sekolah pada waktu kejadian, namun tidak hadir kerana berasa kurang sihat.

“Ibu mereka yang ketika itu sedang bekerja telah menghubungi saya meminta bantuan memeriksa keadaan, kerana dia melihat si abang sedang mencekik mangsa melalui aplikasi CCTV.

“Sebaik sahaja saya masuk ke dalam rumah, saya menjerit bila nampak si abang sedang mencekik leher adiknya yang telah pucat dan dipercayai tidak bernyawa,” katanya kepada pemberita.

Tambah saksi, suspek didakwa bertindak demikian selepas gagal mengawal dirinya berkemungkinan akibat dirasuk.

Ujarnya, mangsa merupakan anak ketiga daripada empat beradik, manakala suspek adalah anak sulung keluarga tersebut.

“Si abang seakan-akan tidak menyedari perbuatannya sehingga saya terpaksa menepis kuat genggaman tangannya,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit mengesahkan kejadian namun tidak mengulas lanjut memandangkan kes berkenaan masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*