Isteri kongsi cerita, Hussin Leboh sempat sebut sesuatu sebelum ajal

Isteri kongsi cerita, Hussin Leboh sempat sebut sesuatu sebelum ajal. Hasrat seorang warga emas untuk menikmati juadah sup asam kaki lembu tidak kesampaian selepas dia maut akibat tersangkut di atas pokok keruing setinggi 60 meter semasa mencari madu di Bukit Lapan, Kampung Chabang Tungkat di sini kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, mangsa, Che Hussin Che Hassan, 62, atau dikenali sebagai Hussin Leboh meninggal dunia sebelum sempat ke kawasan sarang lebah di pokok tersebut.

Isterinya, Midah Abdul Rahman, 62, berkata, suaminya bercadang menikmati juadah itu selepas solat zuhur di Masjid Mukim Telosan sebelum pulang ke rumah dari Bukit Lapan.

Menurutnya, dia ketika itu sedang menyiapkan sup asam kaki lembu sebelum dikejutkan dengan berita suaminya maut semasa mencari madu lebah.

“Terkejut dengan berita itu, saya terus pengsan kerana tidak percaya arwah suami pergi secara tiba-tiba. Arwah beria-ria benar mahu makan sup asam kerana dia sendiri membakar dan mencincang kaki lembu pada malam sebelum kejadian.

“Dia juga ada memaklumkan kepada saya, itu merupakan kali terakhir dia memanjat pokok untuk mencari madu. Saya tidak menyangka ia petanda pemergiannya buat selama-lamanya,” katanya semalam.

Midah memberitahu, sebelum ini, dia tidak bimbang terhadap keselamatan diri arwah kerana suaminya itu sudah biasa memanjat pokok tinggi untuk mendapatkan madu lebah sebelum menjual hasilnya sendiri.

“Semasa kejadian, saya dimaklumkan bahawa arwah meminta dua rakannya berselawat dari bawah pokok sebelum dia memanjat beberapa meter ke atas.

“Kedengaran sayup suaranya yang menyebut ‘Allah, Allah, ­Allah’ sebelum arwah tidak memberi sebarang tindak balas selepas itu,” katanya.

Sementara itu, anaknya, Muhammad Ariffin, 30, berkata, arwah ada mengajaknya masuk ke hutan sehari sebelum kejadian, namun menolak permintaannya kerana perlu meniaga ikan.

Menurutnya, kebiasaannya, dia bersama arwah masuk hutan mencari madu lebah dan pokok keruing tersebut merupakan lokasi yang sering dipanjat.

Katanya, jenazah arwah bapanya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Telosan kira-kira pukul 11.30 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria berkata, mangsa me­rupakan seorang peniaga madu lebah dan telah memanjat pokok untuk mencari madu sejak 13 tahun yang lalu.

Katanya, pada hari kejadian, mangsa bersama dengan dua orang rakannya telah masuk ke dalam hutan berkenaan kira-kira pukul 8 pagi.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke unit forensik Hospital Tengku Anis di sini untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*