SEJAK penyerang Kedah Darul Aman (KDA) FC, Willian Lira meninggalkan kelab itu, bertebaran khabar angin berkenaan pengganti pemain berkenaan.
Antara yang disebut-sebut ialah pemenang dua kali Anugerah Kasut Emas Liga Super, Ifedayo Olusegun yang kini tidak terikat dengan mana-mana pasukan.
Kehadiran penyerang antarabangsa Bahrain itu semestinya cukup dialu-alukan memandangkan dia mempunyai rekod cukup baik dalam arena bola sepak tanah air.
Namun, baru-baru ini, satu lagi nama yang dipetik untuk mengisi kekosongan skuad Sang Kenari ialah peledak berbisa Johor Darul Takzim (JDT), Bergson da Silva.
Perkara tersebut bagaimanapun ditolak secara mentah-mentah oleh pemilik kelab, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim.
Menerusi satu komen di Instagram Brotherhood Johor, TMJ menempelak ura-ura tersebut dengan menegaskan bahawa perkara tersebut seolah-olah tidak logik.
“Siapa-siapa yang ingin keluarkan cerita dan inginkan tarikan, mereka hanya perlu meletakkan nama JDT, siapa pula yang percaya lebih jahil daripada mereka yang mengeluarkan cerita.
“Apa yang ada di JDT? Apa yang ada di pasukan lain? Jadi, letakkan diri anda di tempat pemain JDT dan tanya kenapa mereka perlu keluar?” katanya.
Tambah TMJ lagi, terdapat beberapa isu yang dijawab dengan mengatakan tiada sebab untuk Bergson meninggalkan juara Liga Super sembilan kali berturut-turut itu.
Antara perkara yang dijawab TMJ adalah mengenai minit permainan pemain tersebut yang dikatakan cukup berkualiti jika dibandingkan dengan perlawanan kelab-kelab lain.
“Safawi (Rasid) pergi dipinjamkan pun, akhirnya balik ke JDT sendiri dan mahu kekal bersama JDT. Kenapa? Duit, pencapaian, fasiliti, perlawanan serta pertandingan berkualiti, peluang lebih baik untuk mencipta sejarah,” katanya.
Leave a Reply