Penyanyi lagu ‘Terlalu Istimewa’ Adibah Noor yang akan dirindui

Penyanyi lagu ‘Terlalu Istimewa’ Adibah Noor yang akan dirindui.

TIDAK keterlaluan jika dikatakan, Allahyarham Adibah Noor merupakan antara penghibur yang dikenali segenap lapisan masyarakat di Malaysia.

Penyanyi lagu 'Terlalu Istimewa' Adibah Noor yang akan dirindui
Allahyarham Adibah Noor

Bakat luar biasanya yang dipersembahkan menerusi bidang nyanyian, lakonan, pengacaraan dan penulisan, pasti menyentuh hati banyak pihak.

Suaranya boleh didengari di mana sahaja, wajahnya menghiasi paparan billboard dan iklan di televisyen.

Siapa sangka di sebalik keceriaan yang sering ditampilkan di hadapan khalayak, Allahyarham sebenarnya menderita penyakit kanser ovari tahap empat.

Mengenang Allahyarham, dikongsikan beberapa perkara tentang artis serba boleh ini yang pastinya akan dirindui ramai.

1. Adibah merupakan graduan bidang Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) dari Universiti Kebangsaan Malaysia. Difahamkan, sebelum menjadi artis, beliau pernah mengajar subjek Bahasa Inggeris di sebuah sekolah menengah di Kuala Lumpur.

2. Kerjayanya dalam bidang seni bermula selepas menjuarai Suara 90an Nescafe 1994, menewaskan lebih 3,000 peserta dari seluruh negara.

3. Kemuncak kerjayanya apabila single ‘Terlalu Istimewa’ nukilan beliau sendiri bersama Azlan Abu Hassan, menerima sambutan hebat pendengar pada 2005.

4. Lagu tersebut, yang diinspirasikan dari kisah menyayat hati mangsa rogol dan bunuh, Nurul Huda Abdul Ghani, 10, juga diangkat sebagai juara dalam Anugerah Juara Lagu ke 21.

5. Antara peranan paling diingati yang pernah dipegang Allahyarham ialah watak sebagai Kak Yam dalam filem ‘Sepet’.

6. Adibah Noor seorang legenda? Dalam satu temuramah dengan sebuah media tidak lama dahulu, Allahyarham menolak untuk digelar legenda.

“Ramai yang lebih layak. Saya? Saya hanya seorang penghibur biasa yang berasa gembira setiap kali dapat menghiburkan orang ramai.”

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*