Seorang kanak-kanak lelaki maut dibaham buaya di perairan Pulau Sumangut Payau, di Sandakan.
Mangsa berusia 12 tahun itu ditemukan mayatnya pada 10.38 pagi tadi oleh anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, kira-kira satu batu nautika dari lokasi kejadian.
Komander Operasi Bomba Sandakan, Chauslim Sunsubin, berkata pihaknya menggerakkan empat anggota bersama sebuah bot dan sebuah kenderaan pacuan empat roda ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan.
“Kanak-kanak lelaki itu disahkan meninggal dunia dengan mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, Sinar Harian melaporkan mangsa disambar buaya ketika berenang menghampiri perahunya selepas mencari siput.
“Berdasarkan maklumat, saksi menyatakan mangsa mencari siput di kawasan berkenaan dan selepas selesai mangsa mahu kembali ke perahunya.
“Ketika berenang menghampiri perahu, tiba-tiba mangsa disambar buaya,” kata laporan itu memetik Ketua Bomba Sandakan, Severinus Sainkui.
Leave a Reply