Pakatan Harapan (PH) membayangkan akan menggunakan simbol dacing di Kelantan dan Terengganu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata ada permintaan dan cadangan daripada kepemimpinan Barisan Nasional (BN) dan PH supaya semua calon yang akan bertanding pada PRN di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di dua negeri itu menggunakan simbol dacing.
Beliau mengakui, isu penggunaan simbol sudah dibincangkan pimpinan parti pada beberapa siri mesyuarat di peringkat Pusat.
“Pimpinan semua parti dalam gabungan PH termasuk BN bebas mengeluarkan pandangan dan cadangan, terutama berkaitan penggunaan simbol parti.
“Keputusan mengenainya belum dimuktamadkan dan ia akan diputuskan dalam tempoh terdekat,” katanya pada sidang media sempena persiapan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani peringkat Terengganu.
Majlis itu dijadual dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sebelum ini berkata pihaknya belum memuktamadkan keputusan membenarkan parti sekutu dalam Kerajaan Perpaduan yang berhasrat menggunakan logo dacing pada PRN akan datang.
Beliau berkata, perkara itu akan dibincangkan terlebih dulu biarpun pihaknya ada menerima hasrat mengenainya.
Mengulas mengenai isu calon, Salahuddin yang juga Naib Presiden PH berkata belum tiba masanya untuk diumumkan jumlah calon daripada mana-mana parti termasuk PH dan BN diumumkan memandangkan rundingan masih diadakan.
Leave a Reply