{VIDEO} “Luluh hati lihat tubuh anak ditutup…” Pelajar tahfiz maut, 11 cedera pulang beli baju raya

Sebuah van membawa pelajar tahfiz terbabas dan memasuki parit menyebabkan seorang daripada mereka maut manakala 11 lagi cedera dalam kemalangan di Jalan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Taman Bendahara, Pengkalan Chepa, pagi semalam.

Kemalangan berlaku pada 11.32 pagi ketika van jenis Ssangyong dinaiki pelajar tahfiz itu dipercayai dalam perjalanan pulang selepas membeli baju raya di sebuah pasar raya berhampiran.

Akibat kemalangan itu, mangsa Wan Ahmad Izzat Alauddin, 12, meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa, Alam Nasut Ilias, berkata pihaknya tiba di tempat kejadian pada 11.45 pagi dan mendapati seorang mangsa meninggal dunia, manakala 11 lagi pelajar dan seorang pemandu cedera.

Semua mangsa cedera dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II untuk mendapatkan rawatan, manakala mangsa meninggal dihantar ke HUSM untuk bedah siasat.

Sementara itu, ibu mangsa, Wan Noor Azilah Wan Sulaiman, 48, berkata dia mengetahui kemalangan itu melalui kumpulan WhatsApp pusat tahfiz berkenaan sebelum bergegas ke tempat kejadian.

“Saya tiba di lokasi 20 minit kemudian, luluh hati apabila melihat tubuh anak telah ditutup. Dalam keadaan masih keliru, saya kuatkan diri untuk melihat juga keadaannya yang telah kaku dan berlumuran darah di bahagian kepala,” katanya menurut Bernama.

Wan Azilah berkata, dia sepatutnya menjemput anaknya malam ini untuk pulang beraya di kampung neneknya di Felda Chiku 7, Gua Musang.

Katanya, anak tunggal itu teruja memberitahunya untuk keluar membeli baju raya bersama rakan lain ketika menelefonnya malam tadi.

“Saya tidak menyangka itulah kali terakhir saya bercakap dengannya. Walaupun sedih kehilangan satu-satunya anak, saya redha dengan ketentuan Allah,” katanya.

Jenazah Wan Ahmad dibawa pulang petang semalam sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Chiku 7.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*