Inisiatif Menu Rahmah dikenal pasti sebagai antara beberapa langkah yang membantu mengekalkan kadar inflasi yang rendah sejak beberapa bulan lalu.
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli menjelaskan inflasi merosot pada kadar sederhana 3.7% pada Januari tahun ini berbanding paras tertinggi 4.7% Ogos tahun lalu, yang kemudiannya banyak dipengaruhi oleh kos makanan dan minuman yang tinggi.
“Inflasi berlaku pada kadar sederhana selama lima bulan berturut-turut didorong oleh pelbagai inisiatif yang dilaksanakan kerajaan,” katanya dalam jawapan bertulis di parlimen.
Menurut Rafizi, Menu Rahmah merupakan salah satu inisiatif awal Kerajaan Perpaduan bawah program ‘Payung Rahmah’ yang disasarkan untuk membantu golongan miskin.
Menu Rahmah yang diperkenalkan pada penghujung Januari lalu menawarkan hidangan berharga tidak melebihi RM5 khusus untuk golongan miskin tegar bagi membantu mereka menghadapi kenaikan kos sara hidup.
Ia dilihat sebagai satu langkah yang baik namun, beberapa pemimpin pembangkang dilaporkan mengambil peluang untuk mensensasikan inisiatif tersebut secara negatif.
Antaranya, ahli parlimen dari Kapar, Dr Halimah Ali yang memberi amaran bahawa Menu Rahmah berkemungkinan boleh menyebabkan kanser, penyakit autoimun dan juga autisme kerana menggunakan bahan mentah yang rendah kualiti.
Malah ada juga yang berkata inisiatif berkenaan hanya akan berfungsi sebagai penyelesaian jangka pendek tetapi tidak benar-benar menangani isu kos sara hidup.
Selain Menu Rahmah, Rafizi berkata langkah lain termasuk Pakej Perpaduan Prabayar Internet Mudah Alih, yang menawarkan pelan prabayar pada harga mampu milik RM30, dan skim kawalan harga maksimum untuk lapan barangan semasa musim perayaan Tahun Baharu Cina.
Dua lagi inisiatif yang diketengahkan beliau ialah Program Penyeragaman Harga (PPH) kawasan luar bandar membabitkan tujuh barangan, dan program jualan langsung dari ladang yang diadakan sebulan sekali yang menyaksikan barangan dijual pada harga jauh lebih murah.
“Kerajaan turut menyediakan pelbagai bantuan sosial termasuk bantuan tunai kepada golongan sasar bagi membantu mereka menghadapi kos sara hidup yang tinggi.
“Bayaran bagi fasa pertama bantuan tunai Rahmah kepada 8.7 juta individu B40 berjumlah RM1.67 bilion telah diagihkan secara berperingkat mulai 17 Januari.
Rafizi berkata demikian sebagai maklum balas kepada Datuk Nik Muhammad Zawawi Salleh sama ada kadar inflasi negara berada pada tahap yang membimbangkan.
Menurut Rafizi, berdasarkan keadaan semasa, inflasi dijangka kekal terkawal sepanjang 2023, pada kadar antara 2.8% dan 3.8%.
Beliau menyifatkan ini disebabkan prospek ekonomi yang lebih perlahan dan harga komoditi yang lebih stabil.
“Kerajaan komited untuk memastikan ekonomi kekal kukuh, berdaya tahan dan mampan, serta menjamin kebajikan rakyat akan terus terpelihara,”kata Rafizi.
Leave a Reply