Dengar mangsa minta tolong sebelum meninggal

Mazlan Abdul Ghani sempat mendengar isteri pemandu Proton Exora meminta pertolongan sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Peniaga kedai makan berusia 56 tahun itu berkata, kemalangan membabitkan lima kenderaan dan mengorbankan wanita terbabit serta suaminya berlaku berhampiran premisnya di KM 46 Kampung Selamat, Sungai Tong, di sini.

Dia juga memaklumkan mendengar bunyi dentuman yang kuat serta melihat banyak kenderaan yang rosak akibat kemalangan itu.

“Saya dapati kenderaan pelbagai guna Proton Exora yang paling teruk dan ada tiga beranak di dalamnya.

“Saya cuba membantu mereka, tetapi tidak dapat berbuat apa-apa. Akhirnya terpaksa tunggu bomba datang untuk keluarkan mereka yang tersepit,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, kerani sekolah, Azima Chik, 38, bersyukur dia dan lima anaknya termasuk bayi dua bulan terselamat dalam kemalangan kira-kira 1 tengah hari itu.

Katanya, ketika kejadian dia dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Sura Tengah, Dungun selepas menghantar anak sulung pulang ke asrama Sekolah Menengah Sains Setiu.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, dia melihat sebuah lori dari arah bertentangan terbabas memasuki laluannya dan beberapa kereta lain.

“Ketika itu saya cuba mengelak tetapi terlanggar juga Perodua Axia yang berada di depan.

“Anak saya berusia 12 tahun memegang adiknya yang berusia dua bulan… nasib baik tidak tercampak,” katanya yang memaklumkan suaminya, Mohd Hanapi Ali, 46, tiada bersama kerana demam.

Dalam kemalangan lima kenderaan termasuk lori itu, Faizul Azman Awang, 43, dan isterinya, Habsah Ismail, 42, meninggal dunia, manakala seorang anak mereka parah di muka dan dirawat di hospital.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*