Anwar cabar pengkritik beri contoh pengkhianatan dilakukan kerajaan terhadap Melayu, Islam

Presiden PKR Anwar Ibrahim mencabar pengkritik untuk memberi contoh apakah pengkhianatan yang dilakukan kerajaan beliau terhadap Melayu dan Islam.

Anwar yang juga perdana menteri berkata, beliau terbuka untuk menerima sebarang cadangan atau nasihat untuk menambah baik pentadbirannya namun menolak sebarang unsur politik kebencian.

“Tiada guna maki orang kata khianat dan zalim kepada orang Melayu, bagi saya satu contoh bagaimana kita khianat pada Melayu dan Islam? Jika tiada itu hanya propaganda.

“Kalau bagi cadangan atau nasihat nak perbaiki saya terima dengan senang hati tapi nak guna politik adu domba saya tidak terima, kalau bermain guna api perkauman saya akan pastikan tindakan menangkap mereka,” katanya dalam ucapan penggulungan Kongres PKR.

Menjawab persoalan mengapa baru sekarang banyak pendakwaan membabitkan rasuah dibuat, Anwar berkata itu adalah tanggungjawab pemimpin terdahulu yang tidak dilakukan.

“Kenapa dahulu tiada pendakwaan rasuah? Ini kerana pemimpin dulu tiada yang bagi arahan. Paksi perjuangan kita adalah untuk membetulkan.

“Sistem sebelum ini terlalu banyak ketirisan, arahan saya tetap sama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan ketua hakim negara perlu bertindak secara adil, bebas dan berani. Siapa sakau kita tangkap,” katanya.

Anwar turut memberi jaminan tidak akan berlaku sebarang kezaliman terhadap sesiapa termasuk pemimpin pembangkang, dan tiada istilah pilih kasih dalam kerajaan perpaduan.

“Saya tidak pilih kasih, saya tidak akan lindungi menteri yang terlibat rasuah dan kalau terlibat rasuah jangan cari saya, ini termasuk dalam kalangan menteri PKR,” tambahnya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*